DUNIA
Trump arah tentera dikerah ke Portland, luluskan penggunaan 'kekuatan penuh'

Ejen ICE dikerah semasa tunjuk perasaan menentang dasar imigresen pentadbiran Trump di luar pusat tahanan ICE di Portland. - Foto REUTERS
PORTLAND: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan pengerahan tentera ke Portland, Oregon, sambil meluluskan penggunaan “kekuatan penuh” jika perlu, dalam usaha membendung protes yang disifatkannya sebagai ancaman terhadap keselamatan negara.
Ringkasan AI
- Trump arah tentera ke Portland, luluskan penggunaan "kekuatan penuh" untuk lindungi kemudahan ICE daripada ancaman protes.
- Pemimpin tempatan bantah, termasuk Datuk Bandar dan Gabenor Oregon yang menegaskan tiada ancaman keselamatan nasional.
- Langkah cetus kebimbangan, susulan pengisytiharan Antifa sebagai pengganas domestik dan persoalan terhadap hak awam serta kesahihan tindakan persekutuan.
Namun, arahan ini mencetuskan bantahan daripada pemimpin tempatan.
Datuk Bandar Portland, Keith Wilson, menegaskan bahawa beliau tidak pernah meminta campur tangan persekutuan dan menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan serta tidak diperlukan.
Gabenor Oregon, Tina Kotek, turut menyuarakan kebimbangan dan menyatakan bahawa tiada ancaman keselamatan nasional di Portland.
Beliau telah menghubungi White House dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Setakat ini, tidak jelas sama ada Trump merancang untuk mengaktifkan Pasukan Pengawal Kebangsaan atau tentera tetap.
Jurucakap Pentagon menyatakan bahawa pihaknya bersedia untuk menyokong operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di Portland atas arahan Presiden.
Tindakan Trump ini menyusul selepas beliau secara rasmi mengklasifikasikan Antifa sebagai organisasi pengganas domestik awal minggu ini, dan ia dilihat sebagai sebahagian daripada kempen lebih luas untuk mengekang protes terhadap dasar imigresennya.
Langkah ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemerhati undang-undang dan aktivis hak asasi, yang mempersoalkan kesahihan penggunaan tentera di tanah air sendiri serta potensi pencabulan hak awam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami