Calon Parti Republikan, Donald Trump membatalkan perhimpunan yang dijadual berlangsung Jumaat di Chicago atas isu keselamatan, selepas berlakunya perbalahan di antara kumpulan penyokongnya dan penunjuk perasaan.

Dalam satu kenyataan, Trump memberitahu, "Demi keselamatan puluhan ribu yang berkumpul di sini, perhimpunan malam ini akan ditangguhkan ke satu tarikh yang lain".

CNN melaporkan bahawa dianggarkan kira-kira 8,500 hingga 10,000 orang berada di dalam dewan Universiti Illinois yang merupakan lokasi perhimpunan.

Laporan berita menunjukkan polis memakai pakaian pelindung badan mengiringi beberapa kumpulan keluar dari bangunan ketika pergelutan dan konfrontasi meletus di antara kedua-dua kumpulan.