WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu memaklumkan bahawa satu pengumuman berkaitan sekatan terhadap Cuba akan dibuat “tidak lama lagi.”
“Kita akan lihat. Kita akan umumkan perkara itu dalam masa terdekat,” kata Trump ketika ditanya tempoh sekatan tersebut akan dikekalkan.
Ketika ini, Cuba berdepan sekatan ekonomi berpanjangan serta sekatan bekalan minyak yang menyumbang kepada krisis tenaga serius di negara pulau itu.
Mengulas kemungkinan berlakunya peningkatan tekanan atau tindakan lanjut, Trump memberi jaminan bahawa tiada sebarang eskalasi akan berlaku dalam masa terdekat.
“Tiada eskalasi. Saya tidak fikir perlu. Negara itu sedang runtuh, keadaannya kucar-kacir dan mereka dilihat hilang kawalan sepenuhnya terhadap Cuba,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Trump turut memuji Peguam Negara sementara AS, Todd Blanche, susulan pendakwaan terhadap bekas Presiden Cuba, Raul Castro, dan menyifatkan isu Cuba kini sebagai antara fokus utama Washington.
“Ini satu detik besar, bukan sahaja kepada komuniti rakyat Amerika berketurunan Cuba, malah mereka yang berasal dari Cuba dan mahu kembali ke sana atau bertemu keluarga mereka,” katanya.
Mengulas lawatan Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Ratcliffe ke Cuba minggu lalu, Trump berkata, AS mempunyai kehadiran dan kepakaran yang luas di negara itu, termasuk pegawai perisikan serta hubungan peribadi Setiausaha Negara, Marco Rubio dengan Cuba.
“Kita mempunyai ramai pakar mengenai Cuba. Mereka menunggu detik ini lebih 65 tahun, jadi kita akan lihat apa yang akan berlaku,” jelasnya.
Dalam masa sama, Trump berkata, Cuba memerlukan bantuan segera berikutan keadaan kehidupan rakyatnya yang sukar.
“Mereka tiada cara untuk hidup. Tiada makanan, tiada elektrik, tiada tenaga, tetapi mereka mempunyai rakyat yang hebat,” katanya lagi. - Agensi