Skip to main content

Dunia

Trump dakwa Kanada mahu nikmati ‘manfaat jadi negeri AS’ selepas rundingan perdagangan gagal

Donald Trump_REUTERS_
Presiden Donald Trump mendakwa, Kanada mahu menikmati “manfaat menjadi sebuah negeri” Amerika tanpa benar-benar menjadi sebahagian daripada negara itu, susulan kegagalan rundingan perdagangan antara kedua-dua negara pada Jumaat. - Gambar Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa, Kanada mahu menikmati “manfaat menjadi sebuah negeri” Amerika tanpa benar-benar menjadi sebahagian daripada negara itu, susulan kegagalan rundingan perdagangan antara kedua-dua negara pada Jumaat.

Kenyataan terbaharu Trump itu hadir selepas rundingan berakhir tanpa persetujuan, sekali gus mencetuskan tarif baharu AS sebanyak 50 peratus ke atas pelbagai produk import Kanada. 

Trump turut mendakwa, petani Amerika telah sekian lama dikenakan tarif yang tinggi oleh negara jirannya itu.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menyifatkan tindakan Washington sebagai satu “salah perhitungan” yang bertujuan untuk “menyakiti dan memecah-belahkan” rakyat Kanada.

Carney mengumumkan, Kanada akan membalas langkah tersebut dengan tarif setara “dolar demi dolar” bermula 8 September, melibatkan produk seperti keluli, tenusu, peralatan rumah dan barangan elektronik.

Menurut beliau, kedua-dua negara kini terlibat dalam satu “perang perdagangan”.

“Mereka meminta terlalu banyak dan menawarkan terlalu sedikit. Anda berada dalam keadaan perang apabila diserang. Kami telah diserang,” kata Carney pada Sabtu.

Kenyataan Trump itu juga mengulangi cadangannya yang sering diperdebatkan sejak kembali memegang jawatan Presiden, iaitu menjadikan Kanada sebagai “negeri ke-51” AS, sesuatu yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pemimpin dan rakyat negara itu.

Kegagalan rundingan tersebut turut menggugat hubungan perdagangan yang selama ini saling bergantung antara kedua-dua negara tanpa sebarang petunjuk penyelesaian dalam masa terdekat.

“Kami tidak boleh menerima apa yang mereka tawarkan dan kami tidak akan memberikan apa yang mereka minta,” tegas Carney.

Dalam temu bual bersama Fox News pada Ahad, Trump menyifatkan Kanada sebagai “tidak bijak” kerana memilih untuk berperang tarif dengan AS dan beranggapan mereka boleh menang.

Sebelum ini, kedua-dua pihak dilihat optimis untuk mencapai perjanjian baharu, namun, rundingan dilaporkan runtuh selepas masing-masing menuduh pihak lawan membuat perubahan pada saat akhir.

Tarif baharu AS sebanyak 50 peratus itu akan dikenakan ke atas pelbagai produk Kanada selain tarif sedia ada yang melibatkan keluli, aluminium, automotif dan kayu balak.

Langkah itu meliputi import Kanada bernilai kira-kira AS$20 bilion, atau sekitar lima peratus daripada keseluruhan eksport negara itu ke AS, termasuk wain, produk tenusu, simen, pakaian dan peralatan hoki.

Carney berkata, Kanada mengambil tindakan balas itu dengan berat hati demi melindungi kepentingan negara. 

Perincian lanjut mengenai langkah berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sokongan terhadap pendirian kerajaan turut disuarakan pemimpin parti-parti persekutuan lain termasuk pembangkang Konservatif, selain beberapa pemimpin wilayah Kanada.

Tarif, iaitu cukai yang dikenakan ke atas barangan import, menjadi tonggak utama dasar perdagangan Trump yang berpendapat langkah itu mampu merangsang sektor pembuatan domestik dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan di AS.

Namun, pengkritik menegaskan, tarif telah meningkatkan kos sara hidup pengguna Amerika serta menjejaskan kestabilan ekonomi global.

Ucapan Carney pada Sabtu merupakan penampilan pertamanya selepas beliau mengumumkan pada malam sebelumnya bahawa tiada perjanjian akan dicapai, sambil menuduh pihak AS membuat perubahan saat akhir yang disifatkan sebagai tidak adil dan tidak berasas dari sudut ekonomi.

Sementara itu, perunding AS pula mendakwa, Kanada mengemukakan tuntutan baharu serta menarik balik persetujuan terhadap beberapa syarat yang sebelum ini telah dipersetujui.

Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, tiada rancangan untuk menyambung semula rundingan buat masa ini.

Beliau turut mendedahkan, Washington sebelum ini bersedia mengurangkan sebahagian tarif terhadap Kanada sebagai sebahagian daripada perjanjian yang akhirnya gagal dimeterai.

Bagaimanapun, Carney menegaskan, syarat yang dikemukakan AS adalah “tidak boleh diterima”, termasuk cadangan yang mengehadkan keupayaan Kanada untuk memeterai perjanjian perdagangan baharu dengan negara lain.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Kanada membuat tuntutan pada saat akhir.

“Kami hanya menjelaskan apa yang ditawarkan dan kami terus kecewa dengan jawapan yang diberikan,” katanya.

Premier Ontario, Doug Ford menyatakan sokongan penuh kepada Carney dan menegaskan Trump “tidak boleh dipercayai.”

Premier British Columbia, David Eby pula berkata. tuntutan AS yang mahu mengehadkan kebebasan Kanada menjalin kerjasama perdagangan dengan negara lain akan menyebabkan negara itu menjadi “setara dari segi ekonomi sebagai negeri ke-51 AS.”

“Ia tidak pernah dapat diterima oleh rakyat Kanada,” katanya.

Pemimpin pembangkang Konservatif, Pierre Poilievre turut menyifatkan tarif terbaharu AS sebagai tidak berasas.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Quebec, Christine Frechette memberi amaran bahawa tarif baharu itu berkemungkinan menyebabkan kehilangan pekerjaan.

“Di sebalik angka-angka ini, ada kehidupan manusia yang terkesan,” katanya sambil berjanji memperkenalkan langkah sokongan kepada sektor yang terjejas.

Sementara itu, Premier Alberta, Danielle Smith yang selama ini berusaha mengeratkan hubungan dengan pentadbiran Trump, menggesa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan.

Kegagalan rundingan terbaharu itu berlaku selepas lebih setahun proses rundingan yang berlangsung turun naik dan semakin rancak dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan tarikh akhir yang ditetapkan AS bagi mencapai persetujuan atau berdepan tarif tambahan.

Pada masa yang sama, Kanada dan AS turut terlibat dalam semakan mandatori Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA), iaitu perjanjian perdagangan bebas Amerika Utara yang turut melibatkan Mexico.

Perjanjian itu ditandatangani Trump ketika penggal pertamanya bagi menggantikan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang diperkenalkan pada 1994.

USMCA menjadi asas kepada perdagangan trilateral bernilai kira-kira AS$1.6 trilion setahun antara AS, Kanada dan Mexico.

Awal musim panas lalu, Kanada dan Mexico secara rasmi memohon agar perjanjian itu diperbaharui untuk tempoh 16 tahun lagi. 

Namun, AS enggan melanjutkannya dalam bentuk sedia ada.

Mengulas kesan kegagalan rundingan terhadap masa depan USMCA, Carney mengakui ia “bukan berita yang baik.” - Agensi

Must Watch Video

Advertisement