Skip to main content

Dunia

Trump dakwa Kim Jong Un sahut usaha rundingan Washington

FILE PHOTO: A South Korean soldier stands next to a TV broadcasting a news report on a possible summit between North Korean leader Kim Jong Un and U.S. President Donald Trump, at a railway station in Seoul, South Korea, October 22, 2025. REUTERS/Kim Hong-Ji/File Photo
Presiden Donald Trump mendedahkan, beliau dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un telah berhubung baru-baru ini, sehari selepas mengumumkan pengurangan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Isnin mendedahkan, beliau dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un telah berhubung baru-baru ini, sehari selepas mengumumkan pengurangan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan.

Trump berkata, Kim telah memberi maklum balas terhadap permintaan White House untuk mengadakan perbincangan, namun, tidak memperincikan kandungan respons yang diterimanya.

"Saya boleh katakan beliau telah memberi respons kepada permintaan kami untuk berbincang," kata Trump kepada pemberita.

Pada Ahad, Trump secara mengejut mengumumkan keputusan untuk mengurangkan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan hanya beberapa jam sebelum latihan itu dijadualkan bermula.

Beliau menjelaskan, keputusan tersebut dibuat berdasarkan hubungan baiknya dengan Kim, selain mendakwa sekutu utama Washington itu tidak banyak membantu AS dalam isu berkaitan Iran.

Trump turut menolak kritikan bahawa beliau lebih mengutamakan kepentingan negara yang dianggap musuh seperti Korea Utara berbanding sekutu jangka panjang AS.

Sebaliknya, beliau menegaskan, pendekatannya terhadap Pyongyang menjadikan dunia lebih selamat.

"Saya menjadikannya jauh lebih selamat. Kim Jong Un sentiasa melayan saya dengan penuh hormat.

"Kami telah bertemu beberapa kali, termasuk dua pertemuan utama. Kami berbincang dan meluangkan masa bersama," katanya merujuk kepada siri pertemuan dengan Kim ketika penggal pertamanya sebagai Presiden AS.

Trump berkata, beliau memahami pemimpin Korea Utara itu dan percaya Kim turut memahami dirinya.

"Saya faham beliau, beliau faham saya. Hubungan kami sangat baik. Apa yang saya lakukan sekarang adalah menjadikan keadaan lebih selamat," katanya lagi.

Hubungan peribadi antara Trump dan Kim pernah menjadi perhatian dunia apabila kedua-dua pemimpin mengadakan beberapa sidang kemuncak bersejarah antara 2018 dan 2019, termasuk di Singapura, Vietnam serta Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan Korea Utara dan Korea Selatan.

Bagaimanapun, rundingan berkaitan program nuklear Korea Utara gagal mencapai kemajuan yang berkekalan selepas pertemuan-pertemuan tersebut.

Tahun lalu, pegawai pentadbiran Trump dilaporkan mengadakan perbincangan secara tertutup mengenai kemungkinan mengatur satu lagi pertemuan antara Trump dan Kim sempena lawatan Presiden AS itu ke Asia pada Oktober.

Sebelum ini, CNN melaporkan, usaha awal Trump untuk menghubungi Kim pada awal 2025 tidak mendapat sebarang respons selepas pihak Korea Utara dilaporkan enggan menerima surat yang dihantar Washington kepada pemimpin negara itu.

Pendedahan terbaharu Trump itu sekali lagi mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan usaha diplomatik baharu antara Washington dan Pyongyang ketika ketegangan geopolitik di Asia Timur terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement