KUALA LUMPUR:Rakyat Amerika Syarikat (AS) kini terpaksa memilih untuk mendengar dialog awam daripada calon parti Demokratik, Joe Biden atau  calon daripada parti Republikan, Donald Trump

Namun, Biden nampaknya tidak memberi laluan mudah kepada Trump untuk mengatasi popularitinya apabila mengutuk keras Presiden AS itu dalam dialog awam yang disiarkan stesen penyiar ABC, pada Khamis.

Jelas Biden, sikap 'ala samseng' Trump telah memberi tamparan hebat kepada kedudukan Amerika di mata dunia.

Bekas Naib Presiden AS itu menambah, Trump tidak mempunyai rancangan yang jelas berhubung dasar luar.

"Menurut pandangan saya, kami selalu memutuskan bahawa kami paling efektif sebagai pemimpin dunia.

"Bukan hanya dalam menggunakan kuasa, malah negara yang paling berkuasa di dunia. Perkara itu memberi contoh kepada negara lain untuk mengikut hampir semua (yang kita lakukan)," katanya memetik laporan antarabangsa

Selain itu, Biden menegaskan tahap kepimpinan Amerika yang lemah di pentas dunia telah menyebabkan kebangkitan rejim 'diktator' dan keretakan dalam pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sementara itu, isu ujian saringan COVID-19 menjadi tumpuan pada pembukaan dialog awam melibatkan Donald Trump.

Presiden Amerika Syarikat itu enggan mengesahkan sama ada beliau menjalani ujian saringan atau sebaliknya sebelum mengadakan siri debat pertamanya.

Ketika siaran langsung di NBC pada Khamis malam, Trump dilihat tampil di pentas tanpa memakai pelitup muka.

Selepas diasak berkali-kali, Trump akhirnya memaklumkan beliau 'mungkin' melakukan ujian saringan COVID-19 ketika pembukaan debat pada minggu lalu.

Namun, calon Parti Republikan itu tidak ingat dengan jelas bila ujian saringan itu dibuat.

Sebelum ini, Suruhanjaya Debat Presiden meminta kedua-dua calon pilihan raya Presiden Amerika agar mengambil ujian saringan sebelum mereka hadir pada sesi debat.

Trump disahkan positif COVID-19 pada 2 Oktober lalu, sebelum 10 hari selepas itu disahkan bebas daripada virus berkenaan.

Terbaharu, anak lelaki Trump turut disahkan positif COVID-19.