Trump jangka "pertemuan sangat baik" dengan Presiden Xi di Sidang Kemuncak APEC

Trump berkata perbincangan dengan Xi minggu depan akan memberi tumpuan kepada perdagangan dan tarif antara kedua-dua negara, serta isu-isu berkaitan Taiwan.
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pertemuan beliau yang akan datang dengan Presiden China Xi Jinping dijangka menjadi "sangat baik", lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap kepada pemberita sebelum berlepas dari White House untuk lawatan beliau ke Asia, Trump berkata perbincangan dengan Xi minggu depan akan memberi tumpuan kepada perdagangan dan tarif antara kedua-dua negara, serta isu-isu berkaitan Taiwan.
"Kami mempunyai banyak perkara untuk dibincangkan dengan Presiden Xi, dan beliau juga mempunyai banyak perkara untuk dibincangkan dengan kami. Saya fikir ia akan menjadi satu pertemuan yang baik," katanya.
Trump menyatakan bahawa Washington kini mengenakan tarif sebanyak 157 peratus ke atas China, dan menyifatkannya sebagai beban yang "tidak dapat ditanggung" bagi Beijing. Beliau menambah bahawa AS akan berusaha mendapatkan beberapa konsesi semasa rundingan itu.
Presiden AS itu dijadual bertemu Xi pada 30 Okt di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan.
Trump turut dijangka bertemu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad dan menghadiri jamuan makan malam rasmi bersama para pemimpin AS-ASEAN.
Beliau kemudiannya akan berkunjung ke Tokyo untuk bertemu Perdana Menteri Jepun yang baru dilantik, Sanae Takaichi, sebelum menuju ke bandar pelabuhan Busan di Korea Selatan untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Lee Jae Myung.
Trump juga dijangka menyampaikan ucapan pada majlis makan tengah hari CEO APEC dan menghadiri Majlis Makan Malam Pemimpin AS-APEC.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


