Skip to main content

Dunia

Trump janji tindakan balas selepas tiga anggota tentera AS terbunuh

U.S. President Donald Trump looks on as he speaks to reporters onboard Air Force One, on travel from West Palm Beach, Florida, to Joint Base Andrews, Maryland, U.S., February 16, 2026. REUTERS/Elizabeth Frantz
Trump berkata lebih 1,000 sasaran Iran telah diserang, termasuk aset tentera, pusat kawalan, pertahanan udara dan kemudahan IRGC. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berikrar untuk membalas kematian tiga anggota tentera AS yang terkorban dalam konflik yang semakin memuncak antara Washington, Israel dan Iran.

Dalam satu video yang dimuat naik di platform Truth Social, Trump menyifatkan anggota yang terbunuh itu sebagai “patriot sejati” dan memberi amaran bahawa lebih banyak korban mungkin berlaku.

Advertisement

“Amerika akan membalas kematian mereka dan memberikan tamparan paling dahsyat kepada pengganas yang telah mengisytiharkan perang**,” katanya dalam kenyataan itu.

Pentagon sebelum itu mengesahkan tiga anggota tentera terbunuh dan sekurangkurangnya lima lagi cedera parah, menjadikan mereka korban pertama sejak operasi ketenteraan besarbesaran AS–Israel ke atas Iran bermula pada Sabtu lalu.

Trump turut memberi amaran bahawa operasi ketenteraan AS masih berjalan dengan penuh intensiti dan tidak akan berhenti sehingga “semua objektif dicapai”.

Beliau memaklumkan bahawa lebih 1,000 sasaran Iran telah diserang, termasuk aset tentera, pusat kawalan, pertahanan udara dan kemudahan IRGC.

Ketika bercakap kepada penyokongnya, beliau mengulangi bahawa lebih ramai anggota tentera mungkin terkorban dalam hari-hari mendatang.

“Malangnya, ia mungkin berlaku lagi. Begitulah perang,” katanya.

Serangan balas Iran terhadap AS dan Israel telah menggegarkan banyak negara di rantau Teluk, dengan laporan letupan di Qatar, Bahrain, Jordan, Oman, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu.

Israel turut melancarkan gelombang serangan baharu, termasuk ke atas ibu negara Iran, Tehran.

Dalam masa yang sama, Trump mengulangi amaran keras kepada Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) supaya menyerah diri atau “berdepan kematian pasti”, menggambarkan peningkatan konflik yang semakin berbahaya.

Trump telah menyatakan bahawa operasi ketenteraan ini mungkin berlanjutan sehingga empat minggu, bergantung kepada perkembangan medan pertempuran.

Penganalisis keselamatan memberi amaran bahawa peperangan yang berlarutan boleh mengundang kesan luas terhadap kestabilan global dan hubungan kuasa besar.

 

Must Watch Video