WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali lagi meningkatkan tekanan terhadap Presiden Israel, Isaac Herzog, kerana tidak memberikan pengampunan kepada sekutunya, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang kini berdepan pertuduhan rasuah.
Trump pada Khamis menyifatkan Netanyahu sebagai seorang pemimpin perang yang “luar biasa”, sebelum mengecam Herzog kerana enggan menggunakan kuasa Presiden untuk memberi pengampunan.
Advertisement
“Anda mempunyai seorang Presiden yang enggan memberinya pengampunan. Saya fikir lelaki itu patut malu pada dirinya sendiri," kata Trump mengecam Herzog.
Trump turut menggesa rakyat Israel supaya memberi tekanan kepada Herzog agar mempertimbangkan langkah tersebut.
“Dia memalukan kerana tidak memberikannya (pengampunan buat Netanyahu). Dia sepatutnya memberikannya.”
Kenyataan berkenaan dibuat hanya sehari selepas Trump mengadakan pertemuan dengan Netanyahu di White House - kali ketujuh sejak beliau kembali memegang jawatan presiden tahun lalu.
Netanyahu dituduh menerima hadiah mewah sebagai rasuah serta mempertimbangkan urusan dengan media bagi mendapatkan liputan positif untuk pemerintahannya.
Perbicaraan pertamanya bermula pada 2020, namun sering tergendala akibat ketegangan geopolitik rantau itu, termasuk perang Israel di Gaza.
AS sebelum ini turut menggesa Herzog - yang berperanan lebih bersifat simbolik supaya menggunakan kuasa Presiden untuk memberikan pengampunan kepada Netanyahu.
Namun teguran lantang Trump pada Khamis jelas menunjukkan campur tangan langsung beliau dalam politik domestik Israel.
Gesaan agar Netanyahu diampunkan mencerminkan hubungan rapat kedua-dua pemimpin berhaluan kanan tersebut, yang masing-masing masih bertahan dalam politik meskipun berdepan skandal besar dan pertuduhan undang-undang.
Pada Oktober lalu, ketika berucap di Knesset, Trump turut menggesa Herzog supaya mempertimbangkan pengampunan.
“Saya ada satu idea: Tuan Presiden, mengapa anda tidak memberinya pengampunan?”
Trump juga dilihat memperkecilkan pertuduhan rasuah itu, termasuk dakwaan Netanyahu menerima barangan mewah.
“Cerut dan champagne - siapa peduli tentang semua itu?”
Herzog sebelum ini menegaskan bahawa sebarang permohonan pengampunan perlu melalui proses semakan ketat seperti ditetapkan undang-undang Israel.
Selain pertuduhan rasuah dalam negara, Netanyahu turut berdepan waran tangkap oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah perang di Gaza, termasuk menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.
Herzog, seorang tokoh politik berpengalaman dari Parti Buruh berhaluan tengah-kiri, sering digambarkan lebih sederhana berbanding Netanyahu.
Namun, beliau tetap menjadi pembela tegar tindakan ketenteraan Israel di Gaza. - Agensi