WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyuarakan kekecewaan terhadap beberapa sekutu NATO yang didakwanya gagal memberi sokongan sewajarnya kepada Washington dalam konflik dengan Iran.
Bercakap ketika menerima kunjungan Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte di White House, Trump berkata AS tidak memerlukan bantuan ketenteraan daripada sekutu, namun mengharapkan sokongan secara terbuka daripada negara anggota pakatan itu.
“Kami tidak perlukan bantuan dalam hal ini. Kami musnahkan mereka secara literal dalam minggu pertama. Tetapi, alangkah baik jika mereka berkata, kami mahu membantu. Kami tidak memerlukannya, tetapi ia tetap sesuatu yang baik jika mereka menyatakannya,” kata Trump.
Trump turut menyatakan beliau kecewa dengan beberapa negara termasuk Itali, United Kingdom, Jerman, Perancis dan Sepanyol.
“Saya kecewa dengan Itali, saya kecewa dengan United Kingdom. Kami kecewa dengan Jerman dan Perancis. Sepanyol pula sangat teruk. Mereka tidak mahu membayar apa-apa. Mereka fikir mereka boleh menikmati manfaat tanpa menanggung kos,” katanya.
Bagaimanapun, Trump tetap memuji Rutte yang disifatkannya sebagai sahabat, pemimpin hebat dan Setiausaha Agung NATO yang dihormati.
Rutte pula dalam reaksinya berkata beliau tidak banyak berbeza pandangan dengan Trump, namun menegaskan contoh keengganan sesetengah sekutu menyokong AS hanya melibatkan kes terpencil.
“Saya bersetuju memang ada sebab untuk berasa kecewa. Tetapi hujah saya, perkara ini hanyalah kes terpencil. Jika dilihat secara keseluruhan, sebagai contoh Jerman, sejak hari pertama mereka telah menunaikan komitmen mereka,” kata Rutte.
Menurut Rutte, komitmen itu melibatkan aset ketenteraan, teknologi dan kerjasama dua hala antara negara-negara berkenaan dengan Amerika Syarikat, bukan semata-mata komitmen NATO secara langsung.
“Mereka semua telah memenuhi apa yang dijanjikan. Ini membawa kepada antara 4,000 hingga 5,000 pesawat AS berlepas dari Eropah. Saya berpendapat, operasi ke atas Iran sukar dilakukan tanpa Eropah sebagai platform unjuran kuasa untuk Amerika Syarikat,” katanya.
Dalam pertemuan sama, Trump turut mempersoalkan sama ada anggota NATO benar-benar memenuhi komitmen perbelanjaan pertahanan lima peratus seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Rutte menjelaskan sebahagian negara anggota memerlukan tempoh masa untuk meningkatkan perbelanjaan kerana kekangan penyerapan bajet pertahanan, sambil memberi contoh Jerman yang menurutnya sedang menggandakan perbelanjaan pertahanan antara 2021 hingga 2029.
Trump bagaimanapun menegaskan apa yang diinginkannya daripada NATO bukan wang, sebaliknya kesetiaan.
“Saya cuma mahu kesetiaan mereka. Kami tidak perlukan wang mereka. Kami tidak perlukan apa-apa. Kami mempunyai ketenteraan paling kuat di dunia. Tetapi saya mahukan kesetiaan. Kami sangat setia kepada mereka,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kehadiran ribuan anggota tentera AS di seluruh Eropah, termasuk 50,000 anggota di Jerman, sambil menyatakan Washington menanggung kos besar bagi penempatan itu.
Pertemuan itu berlangsung ketika hubungan Washington dan NATO tegang susulan perbezaan pendirian berhubung konflik Iran serta desakan Trump supaya sekutu Eropah meningkatkan perbelanjaan pertahanan.