Ringkasan AI
- Kerajaan diminta bertindak tegas susulan UNHCR menghentikan pendaftaran baharu pelarian dan pemohon suaka bermula 18 November 2026.
- Keutamaan kerajaan ialah mendapatkan akses data pelarian berdaftar UNHCR dan memastikan tiada lagi pertambahan pendaftaran baharu.
- Kerajaan perlu fokus menyelesaikan isu lebih 225,000 pelarian berdaftar, termasuk mempercepat penghantaran ke negara ketiga atau pulang ke negara asal.
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil langkah susulan yang tegas selepas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengumumkan penghentian pendaftaran baharu pelarian dan pemohon suaka bermula 18 November 2026.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, antara keutamaan kerajaan ketika ini adalah mendapatkan akses kepada data pelarian yang telah didaftarkan oleh UNHCR bagi memastikan tiada lagi pertambahan pendaftaran.
"Sekarang, persoalan yang paling banyak ditanya oleh rakyat di luar sana ialah, apakah UNHCR akan benar-benar menghentikan pendaftaran pelarian baharu ini? Bagaimana kita hendak tahu kalau pendaftaran masih dibuat?" katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Dalam masa sama, Radzi berkata, kerajaan perlu menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat antarabangsa mengenai pendirian Malaysia untuk tidak lagi menerima pelarian baharu.
"Sebab itu saya mohon kerajaan memantau perkara ini untuk memastikan bahawa pendaftaran itu benar-benar telah dihentikan," tegasnya.
Radzi, yang juga bekas Menteri Pelajaran berkata, tumpuan kini perlu diberikan kepada penyelesaian isu lebih 225,000 pelarian yang telah didaftarkan, sama ada melalui penghantaran ke negara ketiga atau pulang ke negara asal.
"Kalau kita ada 225,000 orang pelarian dan dalam tempoh separuh tahun hanya 974 orang dihantar, katakanlah setahun 2,000 orang dihantar, kita perlukan kira-kira 113 tahun untuk menghantar mereka semua keluar," jelasnya.
Menurut Radzi, rekod menunjukkan dalam tempoh Januari hingga Jun 2026, hanya 974 pelarian dihantar ke negara ketiga, sekali gus menuntut pendekatan yang jauh lebih pantas dan menyeluruh.
"Ini tidak masuk akal," ujarnya.