WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pada Khamis, Ben Moss akan memegang jawatan sebagai Pembantu Presiden dan Setiausaha Kakitangan White House, menggantikan Will Scharf yang baru-baru ini dilantik sebagai peguam White House, lapor Anadolu Ajansi.
"Beliau akan menjalankan tugas dengan cemerlang sebagai Setiausaha Kakitangan. Tahniah Ben!" tulis Trump di Truth Social.
Trump berkata, Moss akan memulakan tugas pada 2 Sept sambil memuji prestasi beliau sebagai timbalan setiausaha kakitangan serta peranan terdahulunya sebagai pengarah dasar kepada Naib Presiden, JD Vance.
Menurut Trump, Moss memulakan kerjaya kerajaannya sebagai peguam am kepada Vance yang ketika itu merupakan Senator di Dewan Senat.
Sebelum menyertai perkhidmatan kerajaan, beliau pernah berkhidmat sebagai kerani undang-undang kepada hakim mahkamah rayuan persekutuan dan bekerja sebagai peguam dalam sektor swasta.
-- BERNAMA-ANADOLU