TEMERLOH: Pihak berkuasa menahan 14 individu dan mengeluarkan 235 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron berkata, operasi yang dijalankan serentak di kedua-dua arah lebuh raya selama empat jam bermula dari 8 malam itu bertujuan memastikan pemandu mematuhi undang-undang jalan raya dan kenderaan digunakan selamat dinaiki.
Beliau berkata, selain polis, operasi berkenaan turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang serta pihak konsesi lebuh raya AFA Prime Bhd.
Mohd Nasyim berkata, hasil operasi itu, 10 daripada 14 lelaki yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala empat lagi merupakan pendatang tanpa izin dari Indonesia dan Bangladesh.
“Secara keseluruhan, sebanyak 371 kenderaan dan 388 individu diperiksa selain 139 saman polis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk kesalahan nombor pendaftaran, memandu melebihi had laju, tiada lesen memandu serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
"JPJ pula mengeluarkan 96 notis P22, manakala JAS mengeluarkan dua notis kompaun dan tiga notis arahan menjalani ujian semula. JAS turut memeriksa lapan sijil perakuan berkaitan diesel," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.
Beliau berkata, operasi berkenaan penting susulan statistik kemalangan jalan raya di Pahang yang merekodkan 2,161 kes dari Januari hingga September tahun ini, dengan 44 kematian.
Ketidakpatuhan terhadap undang-undang jalan raya, katanya, bukan sahaja membahayakan individu yang melakukan kesalahan, tetapi juga boleh mengakibatkan kecederaan parah atau kematian kepada pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal merupakan kumpulan yang mencatat jumlah kematian tertinggi dalam statistik berkenaan.
Mohd Nasyim berkata, operasi seumpama itu akan dilaksanakan secara berkala di daerah yang mempunyai kemudahan R&R, dengan pemilihan lokasi mengambil kira faktor keselamatan dan kesesuaian tempat operasi.
-- BERNAMA