Trump minta Mahkamah Agung benarkan penempatan anggota Pengawal Kebangsaan di Chicago

Negeri Illinois yang diterajui parti Demokrat serta bandar Chicago sebelum ini memfailkan saman mencabar rancangan Trump. - Reuters
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memohon kepada Mahkamah Agung supaya menggantung keputusan mahkamah rendah yang sementara waktu menghalang penempatan anggota Pengawal Kebangsaan di Chicago dan kawasan sekitarnya, lapor agensi berita Jerman dpa.
Negeri Illinois yang diterajui parti Demokrat serta bandar Chicago sebelum ini memfailkan saman mencabar rancangan Trump, dengan alasan bahawa tentera tidak boleh dihantar ke wilayah itu tanpa persetujuan mereka.
Minggu lalu, sebuah mahkamah persekutuan di Chicago mengeluarkan perintah sementara bagi menghalang penempatan selama dua minggu. Pentadbiran Trump kemudian membawa kes itu ke mahkamah rayuan persekutuan, namun mahkamah turut menolak permohonan untuk membenarkan penempatan pasukan berkenaan.
Trump kini memohon bantuan Mahkamah Agung. Sepanjang penggal pertamanya, beliau telah melantik tiga hakim baharu ke mahkamah tertinggi itu, sekali gus menjadikan keseimbangan ideologi badan kehakiman condong ke arah konservatif.Pertikaian ini memuncak selepas anggota Pengawal Kebangsaan diletakkan di bawah kawalan persekutuan dan dihantar bagi melindungi harta kerajaan serta pegawai persekutuan, termasuk ejen daripada Jabatan Imigresen dan Kastam (ICE). Anggota dari Texas turut dikerah ke Illinois.
Sebelum perintah mahkamah dikeluarkan, anggota Pengawal Kebangsaan dilihat berada di sebuah kemudahan ICE di pinggir bandar Chicago, lokasi yang menjadi tumpuan tunjuk perasaan berpanjangan terhadap operasi penahanan migran oleh agensi itu.
Di Amerika Syarikat, gabenor negeri lazimnya mempunyai kuasa penuh terhadap unit Pengawal Kebangsaan masing-masing. Presiden hanya boleh mengambil alih kawalan dalam keadaan peperangan atau darurat nasional. Selain itu, Pengawal Kebangsaan biasanya digerakkan untuk menangani bencana alam, rusuhan atau kecemasan lain.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami