DUNIA
Trump naikkan kadar tarif ke atas Kanada kepada 35% bermula 1 Ogos

Trump berucap semasa pertemuan dengan Carney di sidang kemuncak G7 di Kananaskis, Alberta, Kanada. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, telah menandatangani satu perintah eksekutif yang menyaksikan kenaikan kadar tarif ke atas Kanada daripada 25 peratus kepada 35 peratus, menurut kenyataan rasmi White House pada Khamis.
Ringkasan AI
- Presiden AS Donald Trump menaikkan tarif ke atas Kanada daripada 25 peratus kepada 35 peratus, berkuat kuasa 1 Ogos, sebagai tindak balas terhadap kegagalan Kanada menangani aliran masuk fentanyl ke AS.
- Langkah ini dijangka menjejaskan eksport Kanada yang tidak dilindungi di bawah perjanjian US-Mexico-Canada, dan meningkatkan ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara.
- Perdana Menteri Kanada Mark Carney belum mengeluarkan kenyataan balas, walaupun rundingan perdagangan sebelum ini digambarkan sebagai konstruktif tetapi belum mencapai persetujuan penuh menjelang tarikh akhir.
Kenaikan tarif ini dijangka menjejaskan pelbagai barangan eksport Kanada ke AS, dan boleh mempertingkatkan ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara yang telah lama menjadi rakan dagang utama.
Trump, memberi amaran tegas bahawa mana-mana negara yang gagal memeterai perjanjian perdagangan dengan AS sebelum Jumaat ini akan dikenakan kadar tarif yang lebih tinggi ke atas barangan eksport mereka.
“Kami belum berbincang dengan Kanada hari ini. Beliau (Mark Carney) ada menghubungi, kita akan lihat nanti,” kata Trump kepada wartawan semasa satu acara di White House hanya beberapa jam sebelum kadar tarif 35 peratus diumumkan secara rasmi.
Pejabat Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas setakat ini.
Sebelum ini, pemimpin Kanada itu menyatakan bahawa rundingan perdagangan dengan Washington berlangsung dalam suasana konstruktif, namun mengakui bahawa perjanjian penuh berkemungkinan besar tidak sempat dimuktamadkan sebelum tarikh akhir.
Beliau turut menjelaskan bahawa perbincangan berada pada tahap yang sangat intensif, tetapi kemungkinan untuk membatalkan keseluruhan tarif AS adalah tipis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami