Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Internet mesti lebih meluas, laju, murah dan selamat untuk rakyat - Fahmi

Fahmi Fadzil_BeOne Mobile
Fahmi (duduk, tengah) bergambar kenangan ketika menghadiri majlis pelancaran BeONE Mobile, di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memastikan perkhidmatan internet di negara ini menjadi lebih meluas, pantas, mampu milik dan selamat, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem telekomunikasi yang semakin berkembang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sektor telekomunikasi negara kini berada pada tahap yang sihat dengan penglibatan lebih banyak pemain industri yang mampu menawarkan peluang perniagaan serta sumber pendapatan baharu kepada rakyat.

Menurut beliau, antara kejayaan utama yang dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah pelaksanaan konsep perkongsian rangkaian atau network sharing dalam kalangan syarikat telekomunikasi.

Katanya, pendekatan itu membolehkan beberapa syarikat berkongsi penggunaan infrastruktur pasif seperti menara telekomunikasi bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan internet di sesuatu kawasan.

"Melalui kerjasama ini, lebih ramai pengguna dapat menikmati capaian internet yang lebih baik tanpa perlu membina infrastruktur baharu secara berasingan," katanya ketika merasmikan pelancaran BeONE Mobile, di sini, semalam.

Fahmi berkata, kerajaan juga terus memperluaskan liputan internet menerusi dasar "di mana ada jalan, di situ ada internet", khususnya di kawasan luar bandar dan rancangan FELDA yang masih memerlukan penambahbaikan kesalinghubungan.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan rakyat dapat menikmati akses internet secara berterusan walaupun berada di luar kawasan penempatan utama.

Pada masa sama, Fahmi menegaskan, kerajaan komited memastikan rakyat tidak dikenakan caj tambahan untuk menikmati perkhidmatan 5G.

Menurutnya, semua syarikat telekomunikasi telah diminta menyediakan akses 5G tanpa mengenakan bayaran tambahan kepada pelanggan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, akses internet yang pantas dan meluas sahaja tidak mencukupi jika aspek keselamatan pengguna diabaikan.

Sehubungan itu, beliau menggesa BeONE Mobile menjadikan Kempen Internet Selamat sebagai antara komponen utama dalam pembangunan rangkaian serta program bersama ejen-ejen syarikat itu di seluruh negara.

"Apabila ejen bertemu pelanggan dan komuniti, mereka perlu menjadi barisan hadapan dalam mendidik masyarakat mengenai ancaman penipuan dalam talian, khususnya panggilan scam dan taktik penjenayah siber," katanya.

Fahmi mendedahkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat telekomunikasi setakat ini berjaya menyekat lebih 101 juta panggilan palsu atau spoof call yang menggunakan nombor telefon yang dimanipulasi bagi memperdaya mangsa.

Selain itu, kerajaan turut menyekat penghantaran SMS yang mengandungi pautan (hyperlink) bagi mengurangkan risiko pengguna menjadi mangsa aplikasi berniat jahat atau malware yang boleh digunakan untuk mengambil alih peranti mereka.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan yang mendakwa datang daripada pihak polis, mahkamah atau agensi kerajaan dan meminta bayaran segera.

Sebaliknya, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera menamatkan panggilan tersebut dan melaporkan kejadian kepada National Scam Response Center (NSRC) menerusi talian 997 yang beroperasi 24 jam.

Dalam perkembangan sama, Fahmi memuji usaha BeONE Mobile yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan telekomunikasi, malah berpotensi mewujudkan peluang keusahawanan baharu dan aktiviti sampingan (side hustle) bagi menjana pendapatan tambahan kepada rakyat.

Beliau berharap lebih ramai rakyat, khususnya di Lembah Pantai, dapat memanfaatkan perkhidmatan internet yang lebih baik dan menepati keperluan masing-masing pada kos yang berpatutan.

"Yang penting, rakyat mendapat manfaat daripada internet yang lebih baik, lebih selamat dan lebih sesuai dengan keperluan mereka," katanya.

Must Watch Video

Advertisement