Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Bekas CEO Felda didakwa perdaya nilai harga pasaran 24 tanah

https://www.sinarharian.com.my/article/798283/berita/semasa/bekas-ceo-felda-didakwa-perdaya-nilai-harga-pasaran-24-tanah
Mohd Zaid (berkemeja putih) diiringi beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah agensi kerajaan itu.

Ia berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi projek cadangan pembangunan komersial serta nilai harga pasaran bagi 24 tanah di Bandar Kuala Lumpur dan Mukim Setapak, 12 tahun lalu.

Mohd Zaid Abdul Jalil, 55, yang hadir memakai kemeja berwarna putih, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai CEO Felda didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah itu untuk mempercayai bahawa syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Developer.

Pelantikan itu adalah bagi projek 'The Proposed Commercial Development On Felda Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur', sedangkan tertuduh mengetahui syarikat tersebut hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Planner sahaja.

Atas perdayaan tersebut, tertuduh didakwa dengan sengaja mendorong Lembaga Pengarah agensi kerajaan itu meluluskan pelantikan syarikat itu sebagai Project Delivery Partner–Master Developer bagi projek berkenaan, sedangkan Lembaga Pengarah tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Menara Felda, Persiaran KLCC, di sini pada 16 Januari 2014.

Bagi pertuduhan kedua, dia atas jawatan sama didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah sama untuk mempercayai bahawa penilaian harga pasaran bagi 24 tanah milik Felda untuk pembangunan secara komersial yang dilaporkan oleh Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd adalah berjumlah RM330.96 juta.

Sedangkan tertuduh mengetahui jumlah sebenar yang dilaporkan ialah RM691.7 juta.

Anggaran awal nilai pasaran yang diberikan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi semua tanah itu ialah RM180 juta.

Sedangkan dia mengetahui bahawa JPPH tidak pernah memberikan anggaran awal nilai pasaran itu kepada Felda dan perdayaan tersebut telah mendorong Lembaga Pengarah menerima tawaran daripada Synergy Promenade berdasarkan cadangan Minimum Guaranteed Return iaitu RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sedangkan Lembaga Pengarah tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan, di lokasi sama pada 29 April 2014.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian

BERITA LANJUT MENYUSUL

 

 

Must Watch Video

Advertisement