Trump pertimbang beri pengecualian kepada Hungary daripada sekatan minyak Rusia

Orban (kanan) yang merupakan sekutu rapat Trump di Eropah mengadakan pertemuan dengan Presiden AS di White House, pada Jumaat.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk memberikan pengecualian kepada Hungary daripada sekatan minyak Rusia yang dikenakan oleh Washington, susulan permintaan rasmi daripada Perdana Menteri, Viktor Orban.
Dalam pertemuan di White House pada Jumaat, Trump berkata, pengecualian itu mungkin diberikan kerana Hungary menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan minyak dan gas dari sumber lain.
“Mereka tidak mempunyai kelebihan seperti negara yang ada laut dan pelabuhan. Ia satu masalah logistik yang nyata,” kata Trump.
Kenyataan itu hadir selepas AS mengenakan sekatan terhadap dua syarikat minyak terbesar Rusia - Rosneft dan Lukoil pada Oktober lalu, sebagai tekanan berterusan terhadap Moscow berikutan kegagalan rundingan damai berhubung perang di Ukraine.
Orban yang merupakan sekutu rapat Trump di Eropah, mempertahankan hubungan tenaga dengan Rusia dan menyifatkan paip minyak sebagai “realiti fizikal” yang tidak boleh dipolitikkan.
“Kami tidak ada pelabuhan, jadi paip minyak adalah satu-satunya cara untuk kami mendapatkan bekalan,” katanya.
Selepas pertemuan itu, Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto mengesahkan bahawa AS telah memberikan pengecualian penuh dan tanpa had kepada Budapest daripada sekatan tenaga.
Hungary juga dijangka menandatangani perjanjian tenaga nuklear dengan AS, termasuk pembelian bahan api nuklear Amerika buat kali pertama.
Trump turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap negara-negara Eropah lain yang masih membeli komoditi Rusia walaupun tidak menghadapi kekangan geografi seperti Hungary.
“Saya sangat terganggu dengan perkara itu kerana kita membantu mereka, tetapi mereka masih membeli minyak dan gas dari Rusia,” katanya.
Dalam perbincangan mengenai perang Ukraine, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa konflik itu mungkin akan berakhir tidak lama lagi.
“Saya rasa Viktor percaya kita akan dapat menamatkan perang itu dalam masa terdekat,” kata Trump. Orbán pula menegaskan bahawa hanya Hungary dan AS yang benar-benar mahukan keamanan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


