WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengesahkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, pada tahun ini.
Jika direalisasikan, ia akan menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Trump memulakan penggal keduanya sebagai Presiden AS.
Ketika ditanya wartawan sama ada beliau merancang untuk bertemu Kim pada 2026, Trump menjawab ringkas: “Ya, saya akan bertemu dengannya.”
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai tarikh atau lokasi pertemuan berkenaan.
Laporan Wall Street Journal sebelum ini menyatakan Trump sedang mempertimbangkan untuk mengadakan pertemuan dengan Kim ketika menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di China pada November depan.
Dalam kenyataannya, Trump turut mendakwa, Korea Utara kini memiliki 57 senjata nuklear yang disifatkannya sebagai “amat berkuasa”, satu penilaian yang jarang dan luar biasa terperinci dibuat oleh seorang Presiden AS mengenai arsenal nuklear Pyongyang.
“Dia mempunyai 57 senjata nuklear yang sangat berkuasa. Perkara itu sepatutnya tidak pernah dibenarkan berlaku. Jika saya menjadi presiden ketika itu, saya tidak akan membiarkannya berlaku,” kata Trump merujuk kepada Kim.
Trump mempertahankan rancangannya untuk bertemu pemimpin Korea Utara itu walaupun pentadbirannya mengambil pendirian tegas terhadap Iran berhubung isu nuklear.
“Dia sudah memilikinya. Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengannya. Saya tidak boleh membenarkan Iran memiliki senjata nuklear. Saya mengenali Kim Jong Un dengan sangat baik dan dia akan berada dalam keadaan baik,” katanya.
Pengumuman itu dibuat dua hari selepas Trump mengarahkan AS mengurangkan latihan ketenteraan yang disifatkannya sebagai “tidak sesuai dan bermusuhan” bersama Korea Selatan.
Menurut Trump, keputusan tersebut turut dipengaruhi oleh hubungan baik yang terjalin antara beliau dan Kim.
Trump dan Kim pernah bertemu sebanyak tiga kali ketika penggal pertama Trump di White House.
Pada waktu itu, Trump mencetuskan perhatian dunia apabila menyatakan mereka “jatuh cinta” selepas bertukar “surat-surat yang indah”.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu belum pernah bertemu sejak Trump kembali memegang jawatan Presiden AS.
Sejak beberapa hari lalu, Trump memberi bayangan mengenai kemungkinan wujudnya komunikasi baharu dengan Kim, namun enggan mengesahkan sama ada mereka sedang bertukar surat.
Dalam perkembangan berkaitan, adik perempuan Kim Jong Un yang juga tokoh berpengaruh dalam kepimpinan Korea Utara, Kim Yo Jong, berkata beliau “tidak mengetahui” mengenai laporan yang mendakwa terdapat komunikasi antara abangnya dan Trump.
Namun, beliau menegaskan hubungan peribadi antara kedua-dua pemimpin itu kekal “sangat baik.” - Agensi