DUNIA
Trump tandatangan perintah eksekutif tamatkan sekatan ke atas Syria

Langkah itu bertujuan menyokong "laluan Syria ke arah kestabilan dan keamanan." - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin menandatangani perintah eksekutif untuk menamatkan program sekatan AS ke atas Syria, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Amerika Syarikat komited untuk menyokong Syria yang stabil, bersatu dan aman dengan rakyat serta negara jirannya," kata Trump di platform X.
"Syria yang bersatu, tidak menjadi tempat perlindungan kepada organisasi pengganas dan memastikan keselamatan golongan minoriti agama serta etniknya akan menyokong keselamatan dan kemakmuran serantau," tambah beliau.
Terdahulu, Setiausaha Akhbar White House Karoline Leavitt memaklumkan kepada wartawan bahawa langkah itu bertujuan menyokong "laluan Syria ke arah kestabilan dan keamanan.""Perintah ini akan membatalkan sekatan terhadap Syria, sambil mengekalkan sekatan ke atas bekas Presiden Assad, sekutunya, pesalah hak asasi manusia, pengedar dadah, individu yang terlibat dengan aktiviti senjata kimia, Daesh dan sekutunya, serta proksi Iran," katanya.
"Ini sekali lagi merupakan tindakan yang dijanjikan presiden dan mengejutkan dunia ketika beliau berada di Arab Saudi, kerana beliau komited untuk menyokong Syria yang stabil, bersatu dan aman dengan rakyat serta negara jirannya," tambah beliau.
Bulan lalu, Trump mengumumkan di forum pelaburan di Riyadh bahawa beliau akan menarik balik sekatan "kejam dan melumpuhkan" terhadap Syria. Sehari kemudian, beliau mengadakan pertemuan bersejarah dengan Presiden Syria Ahmad al-Sharaa di Arab Saudi, pertemuan pertama antara pemimpin AS dan Syria dalam tempoh 25 tahun.
Bashar al-Assad, yang memerintah Syria hampir suku abad, melarikan diri ke Rusia pada 8 Disember 2024, menandakan berakhirnya pemerintahan Parti Baath selama beberapa dekad yang bermula pada 1963. Al-Sharaa, yang mengetuai pasukan antirejim yang menggulingkan Assad, telah diisytiharkan sebagai presiden bagi tempoh peralihan pada akhir Januari.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami