DUNIA
Trump tuntut Ketua Eksekutif Intel Lip-Bu Tan letak jawatan

Tan, yang pernah mengetuai syarikat pembangunan cip Cadence, dilantik menerajui Intel pada Mac lepas selepas pencarian selama beberapa bulan. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggesa Ketua Eksekutif Intel, Lip-Bu Tan, supaya meletakkan jawatan serta-merta selepas seorang senator AS mendakwa Tan terlalu rapat dengan China, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tan, 65, yang pernah mengetuai syarikat pembangunan cip Cadence, dilantik menerajui Intel pada Mac lepas selepas pencarian selama beberapa bulan.
Senator Republikan Tom Cotton mendakwa Cadence di bawah kepimpinan Tan telah menjual produk secara haram kepada sebuah universiti tentera di China dan menyalurkan teknologi kepada sebuah syarikat China.
Terdapat juga laporan bahawa Tan mengawal "puluhan" syarikat di China.Cotton telah memberi tempoh kepada lembaga pengarah Intel untuk memberikan penjelasan menjelang pertengahan Ogos, dan kini menerima sokongan Trump yang menulis di platform Truth Social bahawa Tan "mempunyai konflik kepentingan yang serius dan mesti meletakkan jawatan serta-merta."
"Tiada penyelesaian lain bagi masalah ini," kata Trump.
Intel mendominasi industri cip suatu ketika dahulu, namun ketinggalan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Syarikat itu sebelum ini berhasrat untuk memindahkan keunggulannya dalam pasaran komputer peribadi (PC) ke dalam peranti mudah alih, tetapi pesaing yang menawarkan pemproses lebih cekap tenaga berjaya menguasai pasaran.
Cip telefon pintar kini kebanyakannya dibekalkan oleh pesaing Intel seperti Qualcomm dan TSMC, manakala Nvidia mendahului jauh dalam sistem cip untuk kecerdasan buatan (AI).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami