MALAYSIA
Dua rakan didakwa rompak wanita China RM2.1 juta

Mohd Syaqir Mohd Ami dan Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga China. - Foto/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Dua rakan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga China, membabitkan kerugian berjumlah RM2.1 juta, bulan lepas.
Ringkasan AI
- Mohd Syaqir Mohd Ami dan Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga China, membabitkan kerugian RM2.1 juta di sebuah vila di Bukit Damansara pada 21 Julai lalu.
- Barang yang didakwa dirompak termasuk jam tangan bernilai RM1.2 juta, tiga jongkong emas, wang tunai RM100,000 dan lima telefon bimbit; pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
- Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 setiap tertuduh dengan syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis dan menyerahkan pasport, serta menetapkan sebutan kes pada 30 September.
Harta tersebut membabitkan seutas jam tangan berjenama bernilai RM1.2 juta, tiga jongkong emas seberat 300 gram, wang tunai berjumlah RM100,000 dan lima telefon bimbit pelbagai jenama dengan anggaran kerugian keseluruhan RM2,146,000 di sebuah vila di Bukit Damansara di sini, pada 10.10 malam, 21 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nidzuan Abdul Latif tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, selain memohon mahkamah mengambil kira kes tersebut adalah serius dan membabitkan kerugian yang tinggi.
"Sekiranya mahkamah memberikan jaminan, terdapat risiko tertuduh melarikan diri kerana semasa tangkapan dibuat, salah seorang daripada tertuduh cuba meloloskan diri.
"Namun, jika mahkamah membenarkan jaminan, saya mohon setiap tertuduh dikenakan jaminan RM60,000 setiap seorang berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah," katanya.
Peguam Hazwan Hassan yang mewakili kedua-dua lelaki itu memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin antara RM10,000 hingga RM15,000 berserta syarat tambahan tertentu kerana jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
"Mohd Syaqir bekerja sebagai jurujual dan berpendapatan RM2,000 sebulan. Dia menanggung ibunya yang menghidap penyakit kanser tahap empat, selain baru sembuh daripada lumpuh setelah terlibat dalam kemalangan pada Ogos tahun lepas.
"Sementara itu, Nur Mohamed Mahsar yang juga bekerja sebagai jurujual dan berpendapatan RM2,000 sebulan perlu menanggung isteri serta dua anak yang masih kecil," kata peguam itu sambil menambah tiada risiko kedua-dua tertuduh melarikan diri.
Hakim Siti Shakirah menetapkan sebutan kes pada 30 Sept ini dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami