SUKAN
Tiga sukan tambahan dalam SUKMA Selangor 2026

Mohd Najwan berkata, cadangan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor bersetuju mencadangkan tiga sukan tambahan untuk dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, sebagai langkah memperluaskan penyertaan dan memperkukuh pembangunan sukan negara.
Peminat-peminat sukan petanque, muay thai dan silambam akan menjadi saksi ketika acara-acara ini dipertandingkan di SUKMA Selangor yang bakal menjelang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII Selangor 2026, Mohd Najwan Halimi, berkata cadangan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas meneliti permohonan dan rayuan daripada beberapa persatuan sukan kebangsaan dan negeri susulan pengumuman keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 5 Ogos lalu.
Beliau menjelaskan, Sekretariat SUKMA Selangor akan mengemukakan cadangan tersebut kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk dimuktamadkan selewat-lewatnya 15 Ogos 2025.“Cadangan ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk memperluaskan penyertaan serta memperkasakan pelbagai disiplin sukan, bermula di peringkat akar umbi hingga ke kebangsaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat
Najwan turut menegaskan bahawa sukan perlu bebas daripada sentimen perkauman atau agenda politik sempit, kerana ia merupakan medan perpaduan yang menyatukan rakyat Malaysia merentasi kaum, agama dan ideologi politik.
Kerajaan Negeri Selangor turut mengulangi aspirasi Kerajaan negeri itu untuk memastikan penganjuran SUKMA 2026 berjalan lancar dan berjaya melahirkan lebih ramai atlet pelapis, selaras dengan sasaran negara meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2028.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami