Trump ugut pemangku Presiden Venezuela: "Terima padah besar jika enggan kerjasama dengan AS"

Presiden Trump (kanan) beri amaran, Rodriguez akan berdepan nasib sama seperti Maduro yang kini ditahan di penjara persekutuan New York atas tuduhan pengedaran dadah jika tidak selari dengan kepentingan AS. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengugut Delcy Rodriguez perlu "membayar harga yang sangat besar" sekiranya pemangku Presiden Venezuela itu enggan “melakukan perkara yang betul” dan bekerjasama dengan campur tangan AS di negara itu susulan serangan serta penahanan Presiden Nicolas Maduro.
Dalam temu bual bersama The Atlantic pada Ahad, Trump menegaskan, Rodriguez akan berdepan nasib sama seperti Maduro yang kini ditahan di penjara persekutuan New York atas tuduhan pengedaran dadah jika tidak selari dengan kepentingan AS.
“Jika beliau tidak melakukan perkara yang betul, beliau akan menerima padah yang sangat besar, mungkin lebih besar daripada Maduro,” kata Trump memberi bayangan.
Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan pujian Trump terhadap Rodriguez dalam sidang media pada Sabtu, selepas serangan tersebut.
Ketika itu, Trump memaklumkan, pegawai AS telah berbincang dengan Rodriguez dan mendakwa “beliau pada asasnya bersedia melakukan apa yang kami fikir perlu untuk menjadikan Venezuela hebat semula.”
Sepanjang sidang media itu, Trump turut menegaskan AS akan “mentadbir” Venezuela sehingga peralihan kuasa secara demokratik dapat dicapai, namun enggan menetapkan garis masa bila ia akan berlaku.
Tidak lama selepas sidang media tersebut, Rodriguez yang juga sekutu rapat Maduro menegaskan, Maduro masih mengetuai kerajaan Venezuela walaupun ditahan dan menyifatkan campur tangan AS sebagai “kezaliman yang melanggar undang-undang antarabangsa” selain menegaskan Venezuela “bersedia mempertahankan sumber asli kami.”
Trump juga memberi bayangan bahawa tentera AS mungkin kembali memasuki Venezuela jika perlu, dan dalam temu bual bersama The Atlantic, beliau menyatakan usaha membina semula negara itu “bukan perkara buruk dalam konteks Venezuela.”
Sebaliknya, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio meredakan kenyataan keras Rodriguez dengan menegaskan, langkah seterusnya bergantung kepada tindakan beliau, bukan sekadar kenyataan media.
“Kami tidak akan menilai berdasarkan apa yang dikatakan dalam sidang media. Kami mahu lihat tindakan pada akhirnya,” kata Rubio kepada ABC’s This Week pada Ahad.
Sementara itu, Senator Tom Cotton, sekutu Trump yang sebelum ini menyokong campur tangan ketenteraan di luar negara menyifatkan Rodriguez sebagai pemimpin tidak sah dan menggesa pembinaan semula kerajaan Venezuela dengan sokongan AS.
“Kami tidak mengiktiraf Delcy Rodriguez sebagai pemimpin sah Venezuela,” kata Cotton kepada CNN’s State of the Union.
“Apa yang kami mahu ialah kerajaan Venezuela yang pro-Amerika, yang menyumbang kepada kestabilan, ketertiban dan kemakmuran, bukan sahaja di Venezuela, tetapi juga di rantau kami.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


