Pearly-Thinaah intai gelaran Super 1000 di Terbuka Malaysia

Pearly bercakap kepada media selepas sesi latihan rasmi dan ujian gelanggang sebelum Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan memasang tekad tinggi untuk memburu kejuaraan Jelajah Dunia bertaraf Super 1000 pada musim baharu yang membuka tirai menerusi Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, bermula esok hingga 11 Jan ini.
Ringkasan AI
- Pearly Tan dan M. Thinaah memasang tekad tinggi untuk mengejar kejuaraan Jelajah Dunia bertaraf Super 1000 pada musim baharu selepas mencapai kejohanan tertinggi sebagai beregu wanita nombor dua dunia.
- Pasangan beregu wanita negara itu menaruh harapan besar pada Terbuka Malaysia 2026 sebagai permulaan musim, dengan matlamat untuk mengekalkan prestasi cemerlang sepanjang musim lalu dan menantang kejuaraan sulung Super 1000.
- Pearly Tan berharap dapat mengatasi tekanan menjadi motivasi positif serta meningkatkan konsistensi prestasi, sambil menamatkan rentetan kegagalan di Terbuka Malaysia sebelum ini dengan mencapai pencapaian yang lebih membanggakan di hadapan penyokong tempatan.
"Sudah tentu harapan itu ada, tambahan pula kami merupakan pilihan kedua. Tetapi saya harap kami dapat menukar tekanan itu menjadi motivasi untuk beraksi lebih baik di Terbuka Malaysia 2026.
"Kami juga berharap dapat mengurangkan turun naik prestasi, mengekalkan konsistensi dan terus melakukan penambahbaikan sepanjang musim ini," katanya kepada pemberita selepas sesi ujian gelanggang di sini, hari ini.
Pencapaian terbaik Pearly-Thinaah pada kejohanan bertaraf Super 1000 setakat ini ialah mara ke pentas final Terbuka Indonesia 2025, sebelum tewas kepada gandingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, 23-25, 12-21, 19-21.
Pearly turut berharap beliau dan Thinaah mampu menamatkan badi tersingkir awal, selepas tiga edisi berturut-turut Terbuka Malaysia (2023 hingga 2025) gagal melangkah jauh, dan kali ini dapat mencapai pencapaian lebih meyakinkan di hadapan penyokong sendiri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan mereka tidak akan memandang ringan cabaran gandingan ke-53 dunia dari India, Rutaparna Panda-Swetparna Panda, yang bakal menjadi lawan sulung pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 1000 itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


