INTERNATIONAL
Trump, Zelenskyy bertemu di Vatican, usaha terbaharu capai keamanan Ukraine

Trump dan Zelenskyy mengadakan pertemuan ketika mereka hadir pada majlis pengebumian Pope Francis, di Vatican, 26 Apr 2025. - Foto Ukrainian Presidential Press Service/REUTERS
VATICAN CITY: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, yang berada di sini bagi menghadiri upacara pengebumian Pope Francis, telah mengadakan pertemuan empat mata, pada Sabtu.
Ia dalam usaha menghidupkan semula rundingan damai bagi menamatkan peperangan antara Rusia dan Ukraine.
Zelenskyy menegaskan, pertemuan itu berpotensi menjadi peristiwa bersejarah sekiranya berjaya membawa kepada perdamaian yang diharapkannya, manakala jurucakap White House menyifatkan pertemuan itu sebagai "sangat produktif."
Kedua-dua pemimpin itu berbincang tanpa kehadiran pembantu di Basilika St. Peter, selama kira-kira 15 minit, menurut pejabat Zelenskyy serta imej rasmi yang dikeluarkan oleh Kyiv dan Washington.Pertemuan ini merupakan yang pertama sejak pertembungan tegang antara kedua-dua mereka di Oval Office, Washington pada Februari lalu, berlangsung pada saat kritikal dalam usaha diplomasi bagi menamatkan konflik berdarah tersebut.
Selepas upacara pengebumian Pope Francis, Trump berlepas dari Rom menaiki Air Force One.
Dalam perjalanan pulang, beliau memuat naik kenyataan di platform Truth Social, mengecam tindakan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
“Tiada sebab untuk Putin melancarkan peluru berpandu ke kawasan awam, bandar dan pekan sejak beberapa hari kebelakangan ini,” kata Trump.
Pada Khamis, serangan peluru berpandu Rusia ke sebuah apartmen di Kyiv telah meragut 12 nyawa.
Trump turut menyatakan: “Ia membuatkan saya berfikir bahawa mungkin Putin tidak mahu menghentikan perang ini. Dia hanya mempermainkan saya. Adakah perlu beralih kepada 'sekatan perbankan' atau 'sekatan pertengahan'? Terlalu ramai yang telah terkorban!”
Sejurus selepas kenyataan Trump, Senator Republikan AS, Lindsey Graham, memaklumkan, Senat bersedia untuk memperkenalkan undang-undang dwipartisan yang akan mengenakan sekatan perdagangan terhadap negara-negara yang membeli minyak, gas dan produk lain dari Rusia.
“Senat bersedia bergerak ke arah ini dan akan berbuat demikian dengan sokongan besar sekiranya Rusia tidak bersetuju untuk mencapai perdamaian yang terhormat, adil dan berkekalan,” kata Graham di platform X.
Kenyataan Trump kali ini dilihat berbeza daripada retorik biasanya, yang selama ini sering mengkritik keras Zelenskyy, namun, bersikap lebih lunak terhadap Putin.
Dalam satu hantaran di Telegram, Zelenskyy berkata: "Pertemuan yang baik. Secara empat mata, kami berjaya membincangkan banyak perkara. Kami berharap akan ada hasil daripada apa yang dibincangkan."
Beliau menambah, isu-isu yang dibincangkan termasuk: "Perlindungan nyawa rakyat kami, gencatan senjata penuh dan tanpa syarat serta keamanan yang kukuh dan berkekalan untuk mengelakkan berulangnya peperangan."
Zelenskyy turut menyatakan: "Ia adalah pertemuan yang amat simbolik dan berpotensi menjadi bersejarah jika kita mencapai keputusan bersama. Terima kasih, Presiden Donald Trump!"
Tanpa kehadiran pembantu
Dalam satu gambar yang diedarkan pejabat Zelenskyy, kedua-dua pemimpin itu kelihatan duduk bertentangan di dalam sebuah dewan basilika, hanya kira-kira dua kaki jaraknya, dan berbual dalam keadaan mesra.
Tiada pembantu kelihatan dalam gambar tersebut.
Dalam gambar kedua, Zelenskyy, Trump, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dirakamkan berdiri dalam satu kelompok kecil.
Macron kelihatan meletakkan tangannya di bahu Zelenskyy.
Selepas pertemuan itu, Trump dan Zelenskyy menyertai para pemimpin dunia lain di Dataran St. Peter untuk menghadiri upacara pengebumian Pope Francis, yang sepanjang kepimpinannya menekankan pentingnya keamanan, termasuk untuk Ukraine.
Perbezaan pendapat mengenai wilayah
Trump terus mendesak Moscow dan Kyiv mencapai persetujuan gencatan senjata dan perjanjian damai.
Beliau sebelum ini memberi amaran bahawa pentadbirannya akan menarik diri daripada usaha damai sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.
Bagaimanapun, dokumen yang diperoleh Reuters menunjukkan terdapat perbezaan ketara antara pendirian White House pimpinan Trump dengan kedudukan Ukraine dan sekutu-sekutu Eropahnya.
Washington dikatakan mencadangkan pengiktirafan rasmi bahawa Crimea, wilayah Ukraine yang ditakluki Moscow pada 2014, kekal sebagai wilayah Rusia - satu perkara yang dianggap "garis merah" oleh Kyiv dan negara-negara Eropah.
Terdapat juga perbezaan pendapat mengenai secepat mana sekatan terhadap Rusia akan dilonggarkan jika perjanjian damai dimeterai, jenis jaminan keselamatan untuk Ukraine, serta bentuk pampasan kewangan yang akan diberikan kepada Kyiv.
Hubungan peribadi yang tegang
Trump dan Zelenskyy mempunyai sejarah hubungan peribadi yang tegang.
Dalam pertemuan mereka di Oval Office sebelum ini, Trump pernah menuduh Zelenskyy "mempertaruhkan Perang Dunia Ketiga."
Sejak itu, Kyiv berusaha memperbaiki hubungan, namun pertelingkahan berterusan.
Zelenskyy pernah menuduh Trump terperangkap dalam "gelembung maklumat salah" yang memihak kepada Moscow, manakala Trump pula mengkritik Zelenskyy kerana "melambat-lambatkan" perjanjian damai dan mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi.
Namun begitu, kedua-dua mereka saling memerlukan.
Trump memerlukan persetujuan Zelenskyy untuk mencapai hasratnya menamatkan perang dengan segera, manakala Kyiv memerlukan tekanan daripada Trump terhadap Moscow untuk melonggarkan syarat gencatan senjata.
Dalam pertemuan Oval Office pada Februari, seorang wartawan AS mengkritik Zelenskyy kerana tidak memakai sut, dianggap sebagai satu bentuk penghinaan.
Sejak pencerobohan penuh Rusia pada 2022, Zelenskyy memang memilih memakai pakaian bergaya tentera sebagai solidariti kepada rakyat Ukraine.
Di Rom pada Sabtu, Zelenskyy sekali lagi mengenakan pakaian kasual ketenteraan - berbaju gelap berbutang hingga ke leher tanpa tali leher dan jaket tentera berwarna gelap di luar. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami