ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala 20 lagi cedera dalam satu serangan bom bunuh diri berhampiran balai polis berdekatan lokasi perhimpunan aman di Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan pada Ahad, lapor Xinhua memetik kenyataan ketua polis daerah Swat.
"Letupan berlaku berhampiran pintu masuk balai polis ketika acara perhimpunan awam berdekatan kawasan berkenaan baru sahaja berakhir," kata Pegawai Polis Daerah Swat, Muhammad Umar.
Beliau berkata mangsa yang terkorban dan cedera merangkumi orang awam yang menghadiri perhimpunan itu serta anggota polis yang bertugas.
Pembawa bom bunuh diri berkenaan cuba memasuki balai polis tetapi dihalang oleh seorang anggota polis di pintu utama sebelum suspek bertindak meletupkan bahan letupan yang dibawanya, katanya.
Pasukan penyelamat dan anggota keselamatan bergegas ke lokasi kejadian serta membawa mangsa yang cedera ke hospital berhampiran.
Polis telah mengepung kawasan berkenaan dan melancarkan pencarian sementara pasukan penyiasat mengumpul bukti di tempat kejadian.
Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.
-- BERNAMA-XINHUA