ISTANBUL: Sekurang-kurangnya tujuh orang awam maut manakala kira-kira 35 lagi cedera pada Ahad dalam serangan Houthi ke atas Pelabuhan Mokha di barat Yaman, berhampiran Selat Bab al-Mandab, serta kawasan perumahan berdekatan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media rasmi.
Mangsa terbabit terkorban dan cedera akibat bedilan Houthi ke atas pelabuhan dan kawasan kejiranan di bandar Mokha di wilayah Taiz, menurut sumber perubatan kepada agensi berita kerajaan, Saba.
Sumber kerajaan berkata pekerja pelabuhan turut antara yang cedera selepas pelabuhan itu dan penempatan pekerja menjadi sasaran serangan.
Pertahanan udara Yaman turut memintas dron Houthi di ruang udara bandar itu, manakala pasukan keselamatan kerajaan berjaya menggagalkan cubaan sebuah bot sarat bahan letupan milik Houthi yang cuba menyasarkan dermaga pelabuhan, menurut sumber tentera yang dipetik Saba.
Pasukan Penentangan Nasional yang menyokong kerajaan turut memaklumkan bahawa mereka berjaya menembak jatuh 11 dron Houthi yang terlibat dalam serangan ke atas Mokha.
Terdahulu, Saba melaporkan bahawa Houthi melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas kawasan kejiranan di Mokha.
Timbalan Menteri Penerangan Yemen Fayyad Alnoman berkata serangan itu menyebabkan kerosakan besar terhadap bangunan, dermaga pelabuhan, barangan perdagangan dan bekalan makanan.
Jurucakap tentera Houthi Yahya Saree mendakwa kumpulannya melaksanakan apa yang disifatkannya sebagai "operasi ketenteraan berskala besar dan berkualiti tinggi" yang menyasarkan "tumpuan tentera dan depot senjata Arab Saudi di kawasan Mokha".
Saree berkata serangan itu melibatkan peluru berpandu balistik dan dron, sambil mendakwa bahawa serangan berkenaan mengakibatkan kerosakan besar terhadap peralatan ketenteraan dan senjata serta mengorbankan dan mencederakan puluhan individu.
Dalam perkembangan berasingan, Gabenor Al Hudaydah Al-Hassan Taher terselamat daripada cubaan bunuh selepas kediamannya di daerah Al-Khawkhah, yang dikuasai kerajaan di barat Yaman, menjadi sasaran peluru berpandu balistik Houthi, menurut stesen televisyen tempatan Aljoumhouriya TV.
Setakat ini, Houthi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU