ANKARA: Turki pada Ahad mengumumkan sekatan COVID-19 akan dilonggarkan mulai 1 Julai sebagai sebahagian usaha untuk mengembalikan kehidupan normal secara beransur-ansur.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, perintah berkurung waktu malam dibatalkan sepenuhnya dan larangan perjalanan antara bandar ditamatkan mulai Khamis, lapor Agensi Anadolu (AA).

Semua tempat kerja dan pawagam dibuka semula, manakala kafe serta restoran dibenarkan beroperasi tanpa had pengunjung.

Sekatan di kemudahan penginapan juga akan ditamatkan dengan pematuhan kepada penjagaan kebersihan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

Selain membenarkan upacara perkahwinan, turut diberi kelonggaran ialah acara seperti konsert, festival, dan kem remaja dengan syarat mematuhi peraturan ditetapkan.

Taman, kawasan berkelah dan perkhemahan akan dibuka semula kepada orang ramai.

Kuarantin wajib 14 hari bagi pelancong dari Bangladesh, Brazil, Afrika Selatan, India, Nepal, dan Sri Lanka akan ditamatkan.

Sementara tempoh kuarantin wajib bagi pelancong dari Afghanistan dan Pakistan dikurangkan kepada 10 hari berbanding 14 hari sebelum ini.

Pada Isnin, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengumumkan Turki akan menamatkan perintah berkurung pada 1 Julai berikutan penurunan kes COVID-19 di seluruh negara.

Sebelum ini pada 1 Jun, negara ini mengurangkan beberapa langkah susulan perintah sekatan pergerakan yang ketat selama 17 hari.

Sejak Disember 2019, pandemik itu meragut lebih 3.9 juta nyawa di 192 negara dan wilayah, dengan lebih 180.8 juta kes dilaporkan di seluruh dunia, menurut Universiti Johns Hopkins.

-- BERNAMA