Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Rabu berkata bahawa salah seorang daripada dua pengebom bunuh diri di lapangan terbang Brussels pernah ditahan sebelum ini, namun pihak berkuasa Belgium didakwa gagal mengesahkan kaitannya dengan aktiviti keganasan.

Tambah Erdogan, pihak berkuasa Turki telah menangkap penyerang itu pada Jun lalu di Gaziantep, iaitu kawasan di sempadan Syria, sebelum diusir ke Belanda atas permintaannya, lapor AFP.

Ibrahim El Bakraoui, 30, ialah warganegara Belgium dan merupakan salah seorang daripada penyerang yang meletupkan bom di tubuh mereka di lapangan terbang Belgium pada Selasa.

Menteri Keadilan Belgium, Koen Geens, berkata beliau sedar lelaki itu telah dihantar ke Belanda dari Turki, namun menafikan suspek itu telah dikenal pasti sebagai pengganas.

Erdogan tetap menuding jari kepada pihak berkuasa Belgium kerana gagal mengesahkan kaitan suspek dalam aktiviti keganasan meskipun mendapat amaran sewaktu penghantaran itu.

Selepas penghantaran suspek ke Belanda pada 14 Julai 2015 bersama amaran mengenai statusnya, pihak berkuasa Belgium telah membebaskannya.

“Walaupun kami telah memberi amaran mengenai suspek, piha berkuasa Belgium tidak dapat mengaitkannya dengan keganasan,” ujar Erdogan.

Sekurang-kurangnya 34 orang maut manakala puluhan yang lain cedera dalam kejadian letupan di lapangan terbang Brussels dan stesen metro pada Ahad di Belgium.

Dua letupan kuat kedengaran di lapangan terbang itu hingga menyebabkan orang ramai lari bertempiaran dalam keadaan di situ di selubungi asap.

Susulan dua letupan tersebut, satu lagi letupan menggegarkan pula stesen kereta api metro Maelbeeck di ibu kota itu, dan menyebabkan beberapa orang cedera.