VILNIUS: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bersetuju menyokong bidaan negara Sweden untuk menjadi sebahagian daripada anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Keputusan dibuat Erdogan dianggap sebagai ‘sejarah baharu’ kerana sebelum ini, hampir berbulan-bulan beliau menentang penyertaan Sweden dalam NATO.

Menurut Penasihat NATO, Jens Stoltenberg, Presiden Erdogan akan mengemukakan syor beliau itu kepada Parlimen Turki bagi memperoleh pengesahan.

"Suka untuk saya mengumumkan... Presiden Erdogan telah bersetuju untuk meneruskan protokol keahlian bagi Sweden pada Sidang Kemuncak Perikatan itu secepat mungkin.

“Ini merupakan hari yang bersejarah,” kata Stoltenberg dalam sidang media.

Persetujuan itu dicapai selepas Presiden Erdogan dan Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson mengadakan perbincangan di Vilnius, Lithuania.

Keahlian NATO memerlukan persetujuan daripada semua anggota persekutuan ketenteraan ini.

Sebagai salah sebuah daripada 31 anggota NATO, Turki memiliki kuasa veto terhadap setiap permohonan negara baharu yang ingin menyertai perikatan tersebut.

Turki sebelum ini  menentang keras usaha Sweden untuk menganggotai NATO atas alasan negara itu melindungi ahli Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan dan pergerakan Gulen.