BEBERAPA hari selepas mengambil alih Twitter, Elon Musk berkata, platform media sosial itu akan menyemak semula proses pengesahan penggunanya atau 'verified'.

Kata beliau, Twitter sedang mempertimbangkan untuk mengenakan bayaran bagi tanda verified yang mengesahkan identiti pemegang akaunnya, lapor media antarabangsa.

Pengguna perlu melanggan Twitter Blue pada harga AS$4.99 sebulan atau kehilangan lencana verified mereka, jika cadangan itu direalisasikan.

Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, bagaimanapun, belum membuat keputusan muktamad dan projek itu masih boleh dibatalkan.

Twitter Blue telah dilancarkan pada Jun tahun lalu sebagai perkhidmatan langganan pertama platform itu, yang menawarkan akses eksklusif kepada ciri premium dengan langganan bulanan termasuk pilihan untuk menyunting ciapan.

Ciri suntingan ciapan bermula pada awal bulan ini selepas Musk melancarkan tinjauan pendapat pada April lalu menunjukkan lebih 70 peratus pengguna mahukan ciri itu.