PARIS: Ubur-ubur menjejaskan operasi loji janakuasa nuklear terbesar Perancis di Gravelines, yang terletak di bahagian utara Selat Inggeris, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan pengendali loji, Electricite de France (EDF).
Tiga reaktor ditutup sepenuhnya manakala satu lagi beroperasi secara separa. Memandangkan satu daripada enam reaktor itu sedang menjalani kerja penyelenggaraan, hanya satu reaktor yang kini beroperasi seperti biasa.
EDF memberi jaminan bahawa situasi itu tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada loji, kakitangannya, mahupun alam sekitar. Pihak syarikat tidak menyatakan lokasi tepat ubur-ubur itu terdampar pada Isnin atau bagaimana ia mengganggu operasi loji.
Loji itu pernah berdepan masalah gangguan ubur-ubur pada tahun lepas, apabila sejumlah besar hidupan itu memasuki sistem penapisan di stesen pengepaman. Kesemua reaktor kembali beroperasi selepas ditutup selama beberapa hari.
Gravelines adalah antara satu daripada hampir 20 loji janakuasa nuklear di Perancis. Ia terletak di pantai utara Perancis, kira-kira di pertengahan antara Calais dan Dunkirk.
-- BERNAMA-dpa