ISTANBUL: United Kingdom (UK) akan mengerahkan dron, pesawat pejuang Typhoon dan kapal perang Tentera Laut Diraja, HMS Dragon sebagai sebahagian daripada misi multinasional bagi menjamin keselamatan Selat Hormuz, menurut Kementerian Pertahanan UK, lapor Anadolu Ajansi.
Pengumuman itu dibuat selepas sidang kemuncak maya membabitkan menteri pertahanan dan wakil dari lebih 40 negara yang menyertai misi ketenteraan multinasional yang dirancang itu.
Menurut kementerian berkenaan, sumbangan UK akan merangkumi sistem pemburuan periuk api autonomi, keupayaan anti dron dan pakar pembersihan periuk api, disokong pembiayaan baharu sebanyak 115 juta pound (AS$152 juta).
Pakej itu turut membabitkan sistem modular "Beehive" milik Tentera Laut Diraja yang dilengkapi bot dron autonomi Kraken bagi mengesan, menjejaki dan bertindak balas terhadap ancaman.
Kementerian itu berkata, HMS Dragon kini dalam perjalanan ke Asia Barat selepas menjalani persiapan dan latihan tambahan.
Beliau berkata, sistem pertahanan udara Sea Viper canggih milik kapal pemusnah itu akan tersedia untuk kemungkinan operasi akan datang di Selat Hormuz.
Pesawat pejuang Typhoon Britain yang ditempatkan di rantau itu juga akan bersedia melaksanakan rondaan udara di laluan strategik berkenaan.
Setiausaha Pertahanan, John Healey berkata, UK sedang "memainkan peranan utama untuk menjamin keselamatan Selat Hormuz.".
"Pembiayaan baharu bagi sistem pemburuan periuk api autonomi dan anti dron, pesawat Typhoon canggih kami serta HMS Dragon merupakan komitmen yang kukuh dan jelas.
"Bersama sekutu kami, misi multinasional ini akan bersifat defensif, bebas dan diyakini," kata beliau.
Kementerian itu berkata operasi berkenaan akan diaktifkan "apabila keadaan mengizinkan" dan menegaskan tujuan misi itu adalah untuk memulihkan keyakinan terhadap perkapalan komersial melalui Selat Hormuz, laluan perdagangan global penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Menurut kenyataan itu, UK kini mempunyai lebih 1,000 anggota tentera ditempatkan di seluruh rantau berkenaan termasuk pasukan anti dron dan skuadron pesawat pejuang.
– BERNAMA-ANADOLU