KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky melahirkan keyakinan bahawa negaranya akan menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas peperangan dengan Rusia berakhir, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perikatan ketenteraan Barat mengadakan sidang kemuncak dua hari di Lithuania.

Walaupun jelas bahawa Ukraine tidak boleh bergabung dengan kesatuan itu ketika dilanda konflik dengan Rusia kerana ia akan mencetuskan Perang Dunia III, penyertaan boleh menyusul apabila keamanan telah dicapai.

"Walaupun kedudukan berbeza telah dinyatakan, masih jelas bahawa Ukraine layak untuk berada dalam perikatan itu. Bukan sekarang - sekarang kita sedang berperang, tetapi kita memerlukan isyarat yang jelas.

"Majoriti pakatan jelas menyokong kami," kata Zelensky dalam perutusan video.

Beliau menambah bahawa sidang kemuncak di Vilnius pada Selasa dan Rabu ini mesti mengesahkan perkara ini.

"Kami sedang berusaha untuk mendapatkan keahlian sejelas dan sepantas mungkin.

"Tugas seluruh pasukan Ukraine - akan diteruskan setiap minit hari ini," katanya.

Zelensky mengadakan beberapa siri rundingan dua hala di Vilnius, termasuk dengan negara-negara Kesatuan Eropah EU, Amerika Syarikat dan Kanada turut menegaskan bahawa perjuangan Ukraine adalah untuk kepentingan Barat.

Keselamatan sayap timur NATO bergantung kepada Ukraine menangkis serangan Rusia, katanya.

-- BERNAMA