Ukraine bakal terima sehingga 100 jet pejuang Rafale buatan Perancis

Presiden Macron (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Zelenskyy menandatangani perjanjian bersama di sebuah pangkalan udara berhampiran Paris, pada Isnin. - Gambar Reuters
PARIS: Ukraine bakal menerima sehingga 100 jet pejuang Rafale F4 buatan Perancis serta sistem pertahanan udara canggih menerusi satu perjanjian besar bagi memperkukuh keupayaan Kyiv mempertahankan diri daripada serangan maut Rusia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyifatkan langkah itu sebagai “bersejarah” selepas menandatangani perjanjian bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron di sebuah pangkalan udara berhampiran Paris.
Penghantaran Rafale F4 dijangka selesai menjelang 2035, manakala pengeluaran bersama dron pemintas akan bermula tahun ini.
Butiran kewangan masih belum dimuktamadkan, namun, laporan menyebut, Perancis merancang untuk mendapatkan pembiayaan Kesatuan Eropah (EU) dan mengakses aset Rusia yang dibekukan – langkah kontroversi yang memecah blok 27 anggota itu.
“Ini adalah perjanjian strategik yang akan berlangsung selama 10 tahun bermula tahun depan,” kata Zelenskyy pada sidang media bersama Macron, pada Isnin.
Ukraine turut akan menerima radar Perancis berkeupayaan tinggi, lapan sistem pertahanan udara dan pelbagai senjata canggih lain, tambahnya.
Zelenskyy menegaskan, penggunaan sistem canggih ini “bererti melindungi nyawa seseorang… ini sangat penting.”
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Rusia meningkatkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Ukraine, menyasarkan infrastruktur tenaga dan rel, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran.
Puluhan orang awam terkorban dalam serangan tersebut, yang disifatkan Kyiv dan sekutu Barat sebagai jenayah perang.
Serangan peluru berpandu Rusia terbaru pada awal pagi tadi mengorbankan tiga orang dan mencederakan 15 lagi di bandar Balakliya, timur laut Ukraine.
Macron ketika berucap bersama Zelenskyy berkata: “Kami merancang Rafale, 100 Rafale - jumlah yang besar. Inilah yang diperlukan untuk memulihkan kekuatan tentera Ukraine.”
Presiden Perancis itu menambah, beliau mahu membantu Ukraine bersedia menghadapi apa sahaja yang bakal berlaku.
Jet pejuang Rafale dilihat penting untuk melindungi ruang udara Ukraine kerana negara itu hampir tidak berdaya menangkis serangan jarak jauh ke atas bandar dan kawasan sempadannya.
“Rusia menggunakan 6,000 bom luncur setiap bulan,” kata penganalisis pertahanan Ukraine, Serhiy Kuzhan kepada BBC.
“Adalah penting untuk memiliki sistem udara-ke-udara Perancis dengan jarak 200km kerana Rusia mempunyai sistem dengan jarak 230km.”
Bagaimanapun, penganalisis dari Royal United Services Institute (RUSI), Justin Bronk mengingatkan: “Kesan sebenar bergantung kepada tempoh masa dan jenis peluru berpandu yang disertakan.”
Ini adalah perjanjian politik jangka panjang, bukan pesanan pembelian terperinci, maka pengumuman ini dijangka tidak mengubah secara drastik dinamika pencerobohan Rusia yang berlarutan.
Janji bekalan peralatan ketenteraan Barat hanya berkesan jika disertakan latihan dan logistik.
Sama ada kereta kebal Leopard 2 buatan Jerman atau jet pejuang F-16 buatan Amerika, semuanya memerlukan latihan intensif, kru sokongan besar dan banyak alat ganti.
Bagi Rafale, timbul persoalan siapa yang akan menanggung kos.
Difahamkan Perancis akan menggunakan bajet sendiri untuk Kyiv serta mencari mekanisme pinjaman bersama EU bagi membiayai perjanjian itu.
Namun, sumber EU di Brussels mengakui dana semakin berkurangan.
Blok itu bersetuju menyokong ekonomi Ukraine yang terjejas untuk dua tahun akan datang, tetapi masih tiada kata sepakat sama ada mahu membuka akses kepada 140 bilion euro aset Rusia yang dibekukan bagi membantu Ukraine dari segi kewangan dan ketenteraan.
Cadangan itu ketika ini menyalahi undang-undang antarabangsa dan beberapa anggota bimbang kemungkinan perlu membayar semula Rusia apabila perang berakhir.
Ketika ini, tentera udara Ukraine sudah menggunakan pesawat Mirage buatan Perancis serta F-16 buatan Amerika Syarikat.
Kyiv juga baru-baru ini bersetuju secara prinsip untuk mendapatkan jet pejuang Gripen dari Sweden.
Selepas Perancis, Zelenskyy dijadual ke Sepanyol bagi mendapatkan sokongan ketenteraan dan lain-lain bantuan untuk Ukraine.
Hujung minggu lalu, beliau memeterai perjanjian gas dengan Greece.
Bekalan gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat dijangka mula disalurkan ke Ukraine musim sejuk ini melalui saluran paip merentasi Balkan.
Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari 2022.
Ketika ini, Moscow menguasai kira-kira 20 peratus wilayah Ukraine dan tentera Rusia terus membuat kemaraan perlahan di sepanjang garisan hadapan – meskipun dilaporkan mengalami korban besar. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


