KUALA LUMPUR: Pelan damai 10 perkara yang dicadangkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy semasa Sidang Kemuncak G20 pada November tahun lepas dilihat satu-satunya rancangan yang boleh dilaksanakan setakat ini demi menamatkan operasi ketenteraan Rusia di wilayah Ukraine, yang telah berlanjutan selama 630 hari.

Kuasa Usaha Ukraine di Malaysia, Denys Mykhailiuk ketika mengulas mengenai perkembangan terkini konflik berkenaan berkata Ukraine melihat pencerobohan Rusia sebagai perang jangka masa panjang.

Beliau menekankan bahawa pada masa ini tiada ruang untuk sebarang rundingan dengan Rusia bagi menamatkan konflik, kerana ia berlaku sepenuhnya dalam wilayah Ukraine.

"Rakyat Ukraine inginkan keamanan lebih daripada segala-galanya, tetapi Rusia tidak mahu perang berakhir kerana matlamat yang diisytiharkan oleh Rusia atau "amaran akhir" agar rakyat Ukraine lenyap daripada muka bumi. ?

"Mereka (Rusia) tidak mengiktiraf kewujudan rakyat kita, bukan sahaja negara kita malah mereka juga meminda perlembagaan dalam melucutkan lima wilayah Ukraine termasuk Crimea pada 2014 dan empat wilayah lain selepas itu (Donetsk, Luhansk, Kherson, dan ?Zaporizhzhia).?

"Konflik yang terus memuncak sejak itu mengakibatkan rakyat Ukraine terus berada dalam keadaan tidak menentu," kata Mykhailiuk kepada Bernama dalam temu bual eksklusif yang diadakan di Kedutaan Ukraine di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut pelan damai 10 perkara, Zelensky menyeru pemulihan integriti wilayah Ukraine, pengusiran sepenuhnya tentera Rusia, perlindungan bekalan makanan dan tenaga, keselamatan nuklear dan pembebasan semua tawanan perang.

Mykhailiuk menegaskan bahawa Persekutuan Rusia perlu dipaksa melalui usaha antarabangsa untuk menghentikan peperangan. Jaminan keselamatan untuk Ukraine adalah prasyarat bagi penyelesaian damai, katanya.

Operasi ketenteraan berskala penuh bermula pada 24 Feb 2022, selepas krisis Perang Rusia-Ukraine tercetus pada 2014 dan dianggarkan puluhan ribu orang awam serta tentera Ukraine terkorban.?

Menjelang April 2023, berjuta-juta rakyat Ukraine telah hilang tempat tinggal manakala lebih 8.2 juta ?telah meninggalkan negara itu hingga mewujudkan krisis pelarian terbesar di Eropah sejak Perang Dunia II.?

Perang terbabit turut menjejaskan ekonomi Ukraine hingga mengakibatkan kerugian 30 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun ini sahaja, berjumlah US$411 bilion membabitkan kerugian material hingga Jun tahun ini.

Infrastruktur penting seperti loji hidroelektrik, grid elektrik, sekolah dan hospital telah musnah, memburukkan lagi keadaan ekonomi di negara Eropah Timur itu.?

Dalam tempoh konflik Ukraine-Rusia selama lebih 20 bulan, ancaman periuk api menjadi isu paling membimbangkan bagi pertahanan Ukraine kerana negara itu kini merekodkan bilangan periuk api paling banyak ditanam di wilayahnya.

Usaha membersihkan kawasan yang tercemar dengan periuk api di Ukraine sedang dijalankan dengan ia dianggarkan akan mengambil masa lebih 700 tahun untuk diselesaikan jika menggunakan teknologi tradisional, katanya. ?

Di sebalik dugaan ini, Ukraine kekal teguh membina kekuatan dengan sokongan masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di negara itu, kata diplomat itu.

Mykhailiuk berkata sehingga kini 141 negara, termasuk Malaysia mengundi menyokong integriti dan kedaulatan wilayah Ukraine, sambil menambah bahawa lebih 50 negara telah memberikan bantuan kewangan dan ketenteraan.?

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pihak negaranya, diplomat itu juga menyatakan penghargaan bagi pendirian Anwar di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada September yang menggesa usaha bersepadu yang diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diambil untuk mencari jalan penyelesaian kepada konflik Ukraine-Rusia.?

"Kami (Malaysia) mengecam sekeras-kerasnya, pencerobohan Rusia di Ukraine. Konflik di Ukraine, sebagai contoh menunjukkan betapa pentingnya untuk memulihara keamanan dan menyelesaikan perselisihan menerusi rundingan.

"Masa tidak memihak kepada kami, berikutan kegagalan menangani krisis Russia-Ukraine yang panjang ini, saya menggesa usaha multilateral secara bersungguh-sungguh diketuai PBB untuk menyelesaikannya," katanya.

Mengenai bantuan kemanusiaan untuk warga Ukraine, Mykhailiuk menekankan keperluan mendesak terutama bantuan ubat-ubatan dan komputer untuk sesi pembelajaran jarak jauh bagi kanak-kanak.? ?

"Kami faham sesetengah negara enggan memberi bantuan ketenteraan, tetapi ada juga keperluan bukan ketenteraan. Menjelang musim sejuk di Ukraine, kami amat memerlukan barangan perubatan atau kebersihan diri dan pakaian tebal," katanya sambil mengucapkan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan atas sumbangan bantuan perubatan bernilai RM227,984 kepada Ukraine pada ? Februari.?

Mykhailiuk turut meminta Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) menghantar wakil ke kedutaannya di Kyiv dan memberi jaminan keselamatan kerana bandar itu dilindungi daripada serangan udara.?

Beliau berkata terdapat rancangan untuk pertukaran lawatan peringkat tinggi antara ?Ukraine dan Malaysia. ?

Mengenai hubungan perdagangan antara Ukraine dan Malaysia, diplomat itu menjelaskan ia kekal stabil meskipun konflik Rusia-Ukraine berterusan, sambil menambah Ukraine kekal sebagai pembekal utama minyak bunga matahari untuk pasaran Malaysia. ?

Beliau berkata rundingan sedang dijalankan antara kedua-dua negara berhubung kemungkinan sektor penerbangan berteknologi tinggi dan angkasa yang masih di peringkat kajian, namun belum ada perjanjian rasmi dimuktamadkan. ?

Mengenai konflik Israel-Hamas yang menjadi perhatian di sebalik kemelut Ukraine-Rusia, Mykhailiuk mengakui ia sedikit sebanyak telah mengalih perhatian dunia daripada perang Ukraine-Rusia.?

Bagaimanapun, beliau berharap kedua-dua konflik akan berakhir tidak lama lagi kerana nyawa orang awam yang tidak bersalah menjadi pertaruhan.

-- BERNAMA