INTERNATIONAL
Ukraine dakwa Kyiv diserang dron, beri amaran ancaman peluru berpandu

Kelihatan apa marah dari bangunan sebuah apartmen yang rosak akibat serangan dron Rusia ketika serangan berterusan Moscow ke atas Ukraine di Kyiv, pada Sabtu. - Gambar Reuters
KYIV: Pihak berkuasa Ukraine melaporkan ibu kota Kyiv sekali lagi menjadi sasaran serangan udara apabila lebih sedozen dron Rusia dikesan di ruang udara awal pagi Ahad, di tengah-tengah amaran kemungkinan serangan peluru berpandu.
Wartawan AFP melaporkan terdengar beberapa letupan, manakala penduduk diminta segera berlindung. Ini merupakan malam kedua berturut-turut Kyiv diserang dari udara.
Menurut Tentera Udara Ukraine, pada Sabtu lalu Rusia telah melancarkan 14 peluru berpandu balistik dan 250 dron serangan ke atas wilayah Ukraine.
Daripada jumlah itu, enam peluru berpandu dan 245 dron berjaya ditembak jatuh.Ketua pentadbiran tentera bandar Kyiv, Tymur Tkachenko berkata, lebih sedozen dron musuh dikesan berada di sekitar ibu kota pagi Ahad.
“Sebahagian dron telah berjaya dipintas, namun masih ada yang sedang menuju ke arah Kyiv. Malam ini tidak akan mudah. Terdapat ancaman penggunaan sejumlah besar dron dan peluru berpandu oleh pesawat strategik musuh,” katanya dalam kenyataan di Telegram.
Tambahnya, serpihan daripada serangan udara itu dilaporkan jatuh ke atas sebuah bangunan kediaman lima tingkat.
Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko turut mengesahkan serangan tersebut sambil memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara sedang beroperasi.
“Kyiv sedang diserang. Kekal berada di tempat perlindungan!” katanya kepada penduduk.
Serangan berterusan ini berlaku dalam tempoh yang sama Ukraine dan Rusia menjalankan pertukaran tahanan terbesar sejak pencerobohan Rusia bermula pada Februari 2022.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu berkata, gelombang serangan itu menunjukkan Moscow sedang “memanjangkan peperangan” dan sekali lagi menggesa sekatan antarabangsa diperhebat.
Pada Sabtu, sejumlah 307 tahanan perang Rusia ditukar dengan jumlah yang sama tentera Ukraine, menurut pengumuman rasmi dari Kyiv dan Moscow.
Pertukaran besar-besaran itu telah dimulakan pada Jumaat, melibatkan 270 tentera dan orang awam dari kedua-dua pihak. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami