ISTANBUL: Angkatan bersenjata Ukraine pada Ahad mengesahkan pihaknya melancarkan serangan terhadap jambatan Chonhar dan Henichesk yang menjadi penghubung dengan Crimea, lapor Agensi Anadolu.

"Pada kira-kira jam 3 petang, pasukan pertahanan melancarkan serangan ke atas jambatan Chonhar dan Henichesk, yang merupakan laluan komunikasi penting pihak penjajah," menurut kenyataan yang dikeluarkan angkatan bersenjata pada Ahad.

Sebelum ini, Russia mendakwa bahawa Ukraine melancarkan peluru berpandu ke atas jambatan Chonhar yang menghubungkan wilayah Kherson dengan Semenanjung Crimea.

"Kiev melancarkan peluru berpandu NATO Storm Shadow ke atas jambatan Chonhar dan kampung Chonhar.

"Jambatan itu rosak akibat dibedil peluru berpandu," kata Vladimir Saldo, ketua wilayah Kherson yang diiktiraf oleh Rusia, menerusi kenyataan di Telegram.

Dalam kenyataan berasingan, ketua Crimea yang diiktiraf Russia, Sergey Aksyonov, berkata bahawa beberapa peluru berpandu telah ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara dan tiada kematian dilaporkan.

-- BERNAMA