DHAKA: Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan bantuan kemanusiaan tambahan melebihi AS$170 juta untuk Rohingya di Myanmar dan di luar negara serta negara tuan rumah Bangladesh.

Dengan pembiayaan baharu itu, jumlah bantuan AS untuk tindak balas krisis pelarian Rohingya mencecah sekitar AS$1.9 bilion sejak Ogos 2017, kata Setiausaha Negara AS Antony Blinken dalam satu kenyataan.

Bangladesh kini menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Rakhine Myanmar akibat kekejaman tentera pada Ogos 2017, lapor Agensi Anadolu.

Dengan peruntukan hampir AS$138 juta bagi mengadakan program khusus di Bangladesh, ia menyediakan sokongan berterusan kepada lebih 940,000 pelarian Rohingya, dan 540,000 ahli komuniti tuan rumah di Bangladesh.

"Kami menggesa penderma lain untuk menyumbang kepada tindak balas kemanusiaan dan meningkatkan sokongan kepada mereka yang terjejas akibat keganasan di Burma (Myanmar).

"Menyedari bahawa keadaan di Burma pada masa ini tidak membenarkan kepulangan yang selamat, sukarela, bermaruah dan mampan buat pelarian Rohingya, kami bekerjasama dengan Kerajaan Bangladesh, Rohingya, dan penduduk di Burma ke arah mencari penyelesaian kepada krisis itu," kata Blinken dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina pada Khamis berkata Bangladesh perlu membelanjakan kira-kira AS$1.22 bilion setiap tahun untuk pelarian Rohingya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri acara peringkat tinggi mengenai krisis Rohingya yang dianjurkan di sebuah hotel di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perlindungan kepada pelarian telah menyebabkan Bangladesh kehilangan biodiversiti dan kawasan hutan seluas kira-kira 2,630 hektar tanah, katanya.

Dalam ucapannya, beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyokong Rohingya dari segi politik dan kewangan, termasuk menyokong Gambia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa bagi mengukuhkan usaha menentang pencabulan hak asasi manusia di Myanmar serta memastikan penghantaran pulang Rohingya dengan selamat.

-- BERNAMA