MOSCOW: Pengundian awal untuk pilihan raya presiden Finland bermula pada Isnin, seminggu lebih awal daripada hari pengundian pada 28 Jan, lapor Sputnik.

Proses pengundian awal akan berjalan sehingga 23 Jan untuk rakyat dalam negara dan sehingga 20 Jan bagi pengundi yang berada di luar negara, menurut jadual Kementerian Kehakiman yang dimuat naik dalam laman sesawang mereka. Andai perlu dijalankan pusingan penentu ia akan dijadualkan pada 11 Feb.

Pemilihan presiden itu menyaksikan persaingan antara dua calon utama iaitu bekas perdana menteri Alexander Stubb dan bekas menteri luar Pekka Haavisto.

Tinjauan terbaharu oleh akhbar Helsingin Sanomat menunjukkan, Stubb mendapat sokongan daripada 24 peratus pengundi manakala 22 peratus lagi memilih Haavisto.

Terdapat tujuh lagi calon lain, termasuk speaker Parlimen Jussi Halla-aho, Gabenor Bank Pusat Olli Rehn dan Menteri Pertanian dan Perhutanan Sari Essaya.

Di Finland, presiden dipilih untuk tempoh enam tahun. Presiden yang sedang berkhidmat Sauli Niinisto telah memegang jawatan itu untuk tempoh maksimum dua penggal yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

-- BERNAMA