IPOH: Banjir yang melanda beberapa kampung di Gerik di Daerah Hulu Perak pulih, dengan 120 mangsa yang berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan dua PPS iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II dan SMK Gerik yang dibuka sejak tengah malam sebelumnya ditutup pada 5 petang.
Sementara itu, mangsa ribut yang berlindung di PPS SK Matang berkurang kepada 23 orang daripada 11 keluarga selepas kejadian ribut menjejaskan kediaman mereka di Kampung Changkat Baru Matang, Kampung Teluk Kertam, Kampung Melawati dan Kampung Hujung Matang, minggu lepas.
-- BERNAMA