TOKYO: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Ahad memutuskan untuk menyenaraikan sekumpulan tapak purba di Wilayah Nara yang menunjukkan pembentukan negara berpusat Jepun dalam Senarai Warisan Dunia, menjadikannya Tapak Warisan Dunia ke-27 negara itu, lapor Kyodo News.
Keputusan mengenai "Asuka-Fujiwara: Tapak Arkeologi Ibu Kota Purba Jepun dan Tapak Berkaitan" dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO yang diadakan di Busan, Korea Selatan.
Runtuhan berkenaan dinilai tinggi kerana menggambarkan proses pembentukan negara berpusat, berlatarbelakangkan interaksi rapat dengan China dan Semenanjung Korea.
Gugusan Asuka-Fujiwara terdiri daripada 19 tapak arkeologi yang berasal dari akhir abad keenam hingga awal abad kelapan.
Antara tapak utama ialah runtuhan Istana Asuka dan Istana Fujiwara yang berkaitan dengan pembinaan awal negara, tinggalan ibu kota pertama Jepun yang lengkap, runtuhan kuil Buddha serta busut kubur purba.
Antara busut kubur itu ialah Makam Takamatsuzuka yang terkenal dengan mural berwarna terang dan Makam Kitora yang menampilkan carta astronomi tertua yang masih wujud di Asia Timur.
Badan penasihat UNESCO pada Jun mengesyorkan supaya tapak-tapak berkenaan dimasukkan dalam Senarai Warisan Budaya Dunia. Dengan penyenaraian ini, Jepun kini mempunyai 22 tapak Warisan Dunia kategori budaya dan lima tapak kategori semula jadi.
-- BERNAMA-KYODO