Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Tanah runtuh: Pemaju perlu bertanggungjawab, laporan lengkap MBPP dalam dua harI - Chow

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (tengah) diberi penerangan mengenai tanah runtuh oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah (kiri) semasa membuat lawatan ke lokasi tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (tengah) diberi penerangan mengenai tanah runtuh oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah (kiri) semasa membuat lawatan ke lokasi tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

GEORGE TOWN: Pemilik tanah dan pemaju projek kondominium serta jalan di kawasan cerun berhampiran lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini perlu bertanggungjawab, termasuk implikasi undang-undang dan kerja mitigasi bagi memastikan keselamatan kawasan terjejas.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata tanggungjawab itu perlu dipikul memandangkan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa seorang doktor itu berlaku di atas tanah milik pemaju terbabit.

“Mereka perlu bertanggungjawab atas kesan-kesan daripada runtuhan ini, maksudnya memikul implikasi undang-undang, dari segi kelulusan pelan itu dan kerja-kerja mitigasi untuk memulihkan keselamatan tapak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta dan memberikan tempoh tujuh hari kepada pemaju untuk mengemukakan pelan mitigasi bagi menangani risiko keselamatan di tapak berkenaan.

Dalam kejadian pada 8.36 pagi Ahad lepas, seorang doktor Wong Kar Lin, 73, maut selepas tertimbus akibat tanah runtuh yang menjejaskan rumahnya manakala isterinya Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mentuanya Wong Poh Lim, 80-an berjaya menyelamatkan diri.

Chow berkata beliau telah menerima laporan daripada MBPP, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang serta draf laporan kejadian daripada Jabatan Kejuruteraan MBPP, dengan laporan lengkap dijangka dibentangkan dalam tempoh satu hingga dua hari lagi.

Beliau berkata laporan awal menunjukkan kejadian itu berlaku di bahagian tapak yang belum menjalani kerja-kerja penstabilan cerun dan memandangkan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas dipercayai menyebabkan air meresap ke dalam tanah sehingga menambah bebanan pada kawasan cerun yang belum distabilkan.

Bagaimanapun, beliau berkata punca sebenar kejadian perlu diteliti menerusi laporan lengkap pihak berkuasa berkenaan.

Mengenai pembinaan kondominium di tapak berkenaan, Chow berkata projek pembangunan itu pada asalnya mendapat kelulusan pada 1996 dan melalui beberapa rintangan termasuk perubahan pemilik tanah, pemaju serta garis panduan pembangunan sebelum kelulusan terkini diberikan pada 2023.

“Ini menunjukkan bahawa MPPP tidak sewenang-wenangnya memberi kelulusan, cuma tertakluk kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa, syarat-syarat teknikal, keperluan impak alam sekitar, trafik, impak sosial dan sebagainya yang sudah pun dipenuhi,” katanya.

Dalam pada itu, Chow berkata MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diminta mengarahkan semua pemaju projek pembangunan khususnya di kawasan cerun supaya meningkatkan pemantauan tapak sepanjang musim hujan.

Katanya, kerja pembinaan tertentu boleh dihentikan sementara bagi membolehkan perhatian diberikan kepada pemantauan keselamatan dan pelaksanaan langkah mitigasi segera sekiranya diperlukan.

Sementara itu, Chow juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Dr Wong yang maut dalam kejadian itu dan berkata kerajaan negeri serta MBPP bersedia menghulurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa.

Beliau berkata nasib penduduk di rumah berhampiran yang turut terjejas, termasuk kebenaran untuk kembali ke kediaman masing-masing, bergantung kepada penilaian pihak berkuasa berkaitan terhadap keadaan tapak dan kestabilan cerun.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement