KUALA LUMPUR: Dengan purata sekurang-kurangnya 70 kanak-kanak di Gaza cedera setiap hari disebabkan serangan berterusan tentera Israel, keperluan kepada kanak-kanak ini dipindahkan meningkat bagi memastikan mereka mendapat rawatan perubatan yang amat diperlukan mereka dengan kadar segera, kata seorang pegawai Tabung Darurat Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Selasa.

Pakar Komunikasi UNICEF Tess Ingram berkata kanak-kanak berkenaan juga berkongsi derita serangan Israel dengan ribuan mereka yang cedera di Gaza bergelut untuk mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan.

Menjelaskan lawatan terkini beliau selama dua minggu di Gaza dalam satu taklimat media di Geneva, Ingram berkata pengarah perubatan kira-kira 11 hospital yang berfungsi sebahagiannya dan masih tinggal memberitahu beliau bahawa kekurangan petugas dan bekalan - jarum, alat jahitan, enestetik -- memberikan kesan negatif terhadap penjagaan yang mereka boleh berikan, terutamanya untuk pembedahan.

Sukar untuk mendapatkan pemindahan pesakit dan hanya separuh daripada pesakit yang memohon untuk pengungsian bagi tujuan perubatan telah diluluskan, katanya.

"Hanya kira-kira 3,500 orang kebanyakannya kanak-kanak telah dipindahkan bagi tujuan perubatan ke luar negara. Itu kurang daripada 20 orang sehari.

Kes perubatan yang perlu disegerakan di Gaza mestilah boleh mengakses perkhidmatan kesihatan kritikal atau dibenarkan untuk meninggalkan tempat itu. Kanak-kanak yang sakit serta cedera dan dipindahkan perlu ditemani anggota keluarga, " kata beliau dalam nota taklimatnya.

Memetik statistik terkini Kementerian Kesihatan Palestin, beliau berkata lebih daripada 12,000 kanak-kanak atau hampir 70 kanak-kanak cedera setiap hari di Gaza sejak 7 Okt.

"Dengan seorang kanak-kanak terbunuh atau cedera setiap 10 minit, di atas segalanya , kita perlukan satu gencatan senjata. Ia adalah satu-satunya jalan untuk menghentikan pembunuhan dan mencederakan kanak-kanak," katanya.

Tentera Israel telah melancarkan serangan ke atas Semenajung Gaza sejak 7 Okt 2023, membunuh hampir 33,800 warga Palestin dan mencederakan kira-kira 74,600 yang lain selain mengakibatkan kemusnahan kediaman dan infrastruktur pada skala besar dan kekurangan barangan keperluan.

-- BERNAMA