INTERNATIONAL
Universiti Harvard saman pentadbiran Trump halang potongan dana penyelidikan berbilion dolar

Pemandangan kampus Harvard Business School di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Universiti Harvard memfailkan saman pada Isnin (21 April) bagi menghalang Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump daripada membekukan berbilion dolar dana Persekutuan, selepas institusi penyelidikan elit itu menolak senarai tuntutan White House yang didakwa akan menjejaskan kebebasan akademik mereka.
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Persekutuan di Boston, Harvard mendakwa, Trump telah melancarkan serangan menyeluruh terhadap pembiayaan penyelidikan termaju di universiti-universiti utama, kononnya bagi membanteras antisemitisme dan kecenderungan ideologi di kampus.
"Kes ini melibatkan usaha kerajaan menggunakan penahanan dana Persekutuan sebagai tekanan untuk mengawal keputusan akademik di Harvard," menurut dokumen mahkamah.
Harvard mendakwa, tindakan pentadbiran Trump menyalahi undang-undang dan melanggar hak universiti tersebut di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS yang menjamin kebebasan bersuara.White House belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
Sejak mengangkat sumpah pada Januari lalu, Trump meningkatkan tekanan terhadap universiti terkemuka di AS, mendakwa mereka gagal mengurus protes pro-Palestin tahun lalu dan membiarkan antisemitisme berkembang di kampus.
Para penunjuk perasaan termasuk kumpulan Yahudi menegaskan, kritikan mereka terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza sering disalah tafsir sebagai kebencian terhadap orang Yahudi.
Harvard menjadi universiti pertama yang mengambil tindakan undang-undang terhadap tekanan pentadbiran Trump ini.
Pada Mac lalu, pentadbiran Trump memulakan semakan ke atas dana Persekutuan berjumlah AS$9 bilion (kira-kira RM43 bilion) yang disalurkan kepada Harvard dan kemudiannya mengemukakan senarai tuntutan luas, termasuk larangan pemakaian penutup muka serta penghapusan semua program berkaitan kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusiviti (DEI).
Sejak itu, kerajaan telah membekukan dana AS$2.3 bilion (RM11 bilion) kepada Harvard serta mengancam untuk menarik balik status pengecualian cukai universiti tersebut dan hak untuk menerima pelajar antarabangsa.
Ia juga menuntut maklumat mengenai hubungan luar negara, pembiayaan, pelajar dan tenaga pengajar di Harvard.
Pentadbiran Trump turut menggantung sebahagian pembiayaan kepada universiti lain seperti Columbia, Princeton, Cornell, Northwestern dan Brown berhubung protes di kampus.
Dalam kenyataan mengenai saman tersebut, Presiden Harvard, Alan Garber menegaskan, institusi itu akan terus menentang kebencian dan mematuhi undang-undang anti-diskriminasi sepenuhnya - undang-undang yang dituduh dilanggar oleh Trump berikutan respons universiti terhadap protes pro-Palestin.
“Daripada bekerjasama dengan Harvard bagi menangani antisemitisme seperti yang disyaratkan oleh undang-undang hak sivil, kerajaan kini cuba menentukan siapa yang kami boleh lantik dan ajar,” katanya. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami