Skip to main content

Dunia

17 negara sambut baik perjanjian AS-Iran, gesa pembukaan semula Selat Hormuz

Iran, US Flag
Sekumpulan 17 negara menyambut baik memorandum persefahaman (MoU) di antara AS dan Iran sebagai peluang memulihkan kestabilan serantau serta ekonomi global, menjelang majlis menandatangani perjanjian rasmi di Switzerland pada 19 Julai ini. -Gambar fail

ISTANBUL: Sekumpulan 17 negara pada Isnin menyambut baik memorandum persefahaman (MoU) yang diumumkan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, menyifatkannya sebagai peluang untuk memulihkan kestabilan serantau dan menyokong ekonomi global, lapor Anadolu Ajansi.

"Ini ialah peluang untuk memulihkan kestabilan serantau dan menstabilkan ekonomi global," menurut kenyataan bersama oleh United Kingdom (UK), Perancis, Jerman dan Itali.

Kenyataan itu kemudiannya ditandatangani oleh 13 negara lain. Mereka mengucapkan tahniah kepada AS, Iran dan pengantara termasuk Pakistan dan Qatar atas apa yang disifatkan sebagai kejayaan diplomatik.

Para pemimpin menegaskan rundingan terperinci harus dimuktamadkan dan perjanjian itu dilaksanakan "dengan pantas dan menyeluruh," sambil menambah mereka bersedia untuk membantu proses berkenaan.

Mereka juga menyeru agar Selat Hormuz dibuka semula dengan segera dan pemulihan "kebebasan pelayaran tanpa syarat dan tanpa had."

Negara lain yang menandatangani kenyataan itu ialah Jepun, Kanada, Australia, Belgium, Bulgaria, Pentadbiran Cyprus Greek, Republik Dominican, Estonia, Finland, Greece, Latvia, Poland dan Portugal.

Kumpulan pemimpin itu berkata mereka komited untuk menyumbang kepada usaha tersebut, termasuk menerusi "misi pertahanan yang bebas yang tegas" bertujuan meyakinkan perkapalan komersial dan menjalankan operasi pembersihan periuk api, mengikut keperluan perlembagaan masing-masing.

Kenyataan itu mengulangi bahawa Iran "tidak boleh sama sekali memperoleh senjata nuklear" dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan AS, Iran dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke arah objektif itu.

Para pemimpin juga berkata mereka bersedia untuk menarik balik sekatan yang berkaitan sebagai tindak balas terhadap "langkah yang jelas dan boleh disahkan" oleh Iran mengenai program nuklearnya.

Mereka berjanji untuk bekerjasama rapat dengan AS, Iran dan rakan serantau untuk mengekalkan momentum dan mencapai penyelesaian diplomatik jangka panjang.

Ia seterusnya mengesahkan sokongan untuk kestabilan, kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan serta menekankan kepentingan gencatan senjata yang teguh.

Ketegangan serantau meruncing sejak akhir Februari selepas AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran, membunuh lebih 3,000 orang.

Tehran bertindak balas dengan serangan ke atas negara Teluk dan Israel, serta sekatan Selat Hormuz.

Washington dan Tehran mencapai gencatan senjata sementara pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan sebelum mengumumkan perjanjian rangka kerja untuk menamatkan konflik.

Perjanjian itu dijangka ditandatangani secara rasmi di Switzerland pada 19 Julai.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement