REDWOOD CITY: Electronic Arts (EA) melancarkan platform pengiklanan baharu dikenali sebagai EA Advertising bagi membolehkan jenama dipaparkan secara terus dalam ekosistem permainan video syarikat itu.
Langkah tersebut bertujuan menghubungkan jenama global dengan komuniti pemain melalui pendekatan lebih interaktif tanpa menjejaskan pengalaman permainan, lapor Amanz.
Menurut EA, platform itu menggunakan iklan dinamik yang boleh dikemas kini secara masa nyata berdasarkan lokasi, negara serta minat pemain.
Dengan lebih 120 juta pengguna aktif bulanan bagi permainan terbitannya, EA berkata platform berkenaan memberi kelebihan kepada jenama untuk menyasarkan khalayak dengan lebih tepat.
Sebelum ini, EA telah menggunakan elemen penempatan jenama secara statik dalam judul popular seperti Need for Speed dan FIFA.
Namun, iklan berkenaan tidak boleh diubah selepas pelancaran permainan.
Melalui pendekatan dinamik ini, kemas kini iklan boleh dilakukan secara masa nyata mengikut keperluan pasaran tempatan.
Perkembangan tersebut membuka peluang kepada kemunculan jenama tempatan, termasuk dari Malaysia, dalam judul permainan global seperti EA Sports FC.