DUNIA
UNRWA kecam sekatan Israel ke atas Gaza, desak sempadan dibuka

UNRWA pada Jumaat mengecam keras tindakan terus bergantung kepada penghantaran bantuan melalui udara ke Gaza.
ANKARA/ISTANBUL: Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Jumaat mengecam keras tindakan terus bergantung kepada penghantaran bantuan melalui udara ke Gaza, menyifatkannya sebagai "tidak berkesan, tidak mencukupi, dan sekurang-kurangnya 100 kali lebih mahal berbanding penghantaran menggunakan lori," lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini menegaskan dalam satu kenyataan bahawa "lori membawa bantuan dua kali ganda lebih banyak daripada pesawat", dan mempersoalkan logik di sebalik keutamaan terhadap penghantaran melalui udara sedangkan laluan darat masih ditutup.
"Jika ada kemahuan politik untuk membenarkan penghantaran udara yang sangat mahal, tidak mencukupi dan tidak berkesan, maka sepatutnya ada juga kemahuan politik yang sama untuk membuka laluan darat," katanya.
Lazzarini memberi amaran bahawa "satu-satunya cara untuk menangani kebuluran ialah dengan membanjiri Gaza dengan bantuan.""UNRWA, agensi PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) terbesar di lapangan, mempunyai 6,000 lori yang sarat dengan bantuan tersekat di luar Gaza dan sedang menunggu lampu hijau untuk masuk," katanya.
Beliau turut mengimbas semula kejayaan gencatan senjata sementara awal tahun ini sebagai contoh jelas keberkesanan akses kemanusiaan yang diselaraskan.
"PBB, termasuk UNRWA dan rakan-rakan kerjasama, berjaya membawa masuk 500 hingga 600 lori sehari semasa gencatan senjata wal tahun ini," katanya. "Bantuan sampai kepada seluruh penduduk Gaza dengan selamat dan bermaruah. Ia berjaya membalikkan keadaan kebuluran yang semakin parah tanpa sebarang pelencongan bantuan."
Lazzarini menegaskan peranan penting UNRWA dalam mengurus penghantaran bantuan yang berkesan dan selamat. "Tiada alternatif kepada respons yang diselaraskan PBB dengan UNRWA sebagai tulang belakang yang mampu mencapai hasil yang sama."
"Marilah kembali kepada kaedah yang berkesan dan biarkan kami jalankan tugas kami. Inilah yang paling diperlukan rakyat Gaza ketika ini, berserta satu gencatan senjata yang berkekalan," katanya.
Tentera Israel terus melancarkan serangan ganas ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023, walaupun menerima desakan antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata kekal, menyebabkan lebih 60,000 rakyat Palestin terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Pengeboman berterusan itu turut memusnahkan wilayah terbabit dan mengakibatkan kekurangan makanan yang teruk.
Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas kesalahan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa susulan serangan ke atas wilayah itu.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami