MUMBAI: Pasukan penyelamat di India giat mencari mangsa yang mungkin terselamat ketika kejadian tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan lebat.

Sekurang-kurangnya 136 maut manakala 68 dilaporkan hilang selepas hujan melanda pantai barat India yang menyebabkan tanah runtuh dan menimbus puluhan rumah di daerah Raigad, selatan Mumbai.

Menurut pegawai, ratusan maut di Raigad dalam tiga kejadian tanah runtuh dan operasi menyelamat diteruskan.

Di Goa dan Maharashtra, puluhan mangsa terbunuh manakala rumah kediaman hanyut atau musnah akibat banjir buruk serta tanah runtuh.

Sebelum ini, jurucakap kerajaan negeri Anirudha Ashtaputre memberitahu, dua mangsa meninggal dunia di daerah Satara akibat tanah runtuh.

Di daerah lain dalam negeri yang sama, pihak berkuasa memaklumkan, sekurang-kurangnya 15 orang juga hilang, dikhuatiri hanyut dibawa arus deras.

Pasukan tentera berusaha memindahkan mereka yang terperangkap dalam banjir, tetapi operasi terhalang oleh tanah runtuh yang menyekat jalan raya, termasuk lebuh raya utama antara Mumbai dan Goa.

Paras air meningkat kepada 3.5 meter pada Jumaat di kawasan Chiplun, sebuah bandar yang terletak 250 kilometer dari Mumbai.

Ini berikutan hujan lebat tanpa henti selama 24 jam yang menyebabkan Sungai Vashishti melimpah, sekali gus menenggelamkan jalan dan kediaman.

Ketua Menteri Maharashtra, Uddhav Thackeray berkata petugas kecemasan sedang berusaha untuk sampai ke kawasan kejiranan di Chiplun, susulan kerosakan jalan dan jambatan di sana.

Tentera laut pula mengerahkan tujuh pasukan penyelamat yang dilengkapi bot getah, jaket penyelamat dan bot penyelamat ke kawasan terjejas, bersama pakar penyelam dan helikopter untuk menyelamatkan penduduk.

Jabatan Meteorologi India mengeluarkan amaran merah bagi beberapa wilayah di negeri ini, di mana antara lain meramalkan hujan lebat akan berterusan selama beberapa hari akan datang.